23.7 C
Kuala Lumpur
Sunday, October 2, 2022

PM umum gaji minimum RM1,500 pekerja tetap GLC dan GLIC

Ia selaras dengan jumlah gaji dan elaun sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan yang diterima oleh semua penjawat awam.

Mesti Baca

Lukman Ismail
Editor Edisi 9

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mengumumkan pemberian gaji minimum sebanyak RM1,500 kepada semua pekerja tetap Syarikat Milik Kerajaan (GLC) dan Syarikat Pelaburan Milik Kerajaan (GLIC).

Menurut Perdana Menteri, ia selaras dengan jumlah gaji dan elaun sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan yang diterima oleh semua penjawat awam.

Selain itu beliau berkata, ia juga sebagai keprihatinan kerajaan terhadap cabaran kos sara hidup yang dihadapi rakyat.

“Tahap pendapatan minimum ini wajar diamalkan oleh sektor swasta bagi membantu pekerja menangani cabaran kos sara hidup, terutamanya bagi pekerja yang berpendapatan rendah.

“Sehubungan itu, kerajaan komited untuk memastikan pekerja tetap syarikat GLC dan GLIC dibayar sekurang-kurangnya RM1,500 sebulan. Diharap syarikat korporat lain akan turut meneladani usaha ini,” katanya semasa merasmikan Hari Terbuka GLC 2022 di Kuala Lumpur hari ini.

Ismail Sabri turut mengumumkan bahawa semua GLC dan GLIC diwajibkan melantik sekurang-kurangnya seorang pengarah wanita sebelum 1 Jun 2023.

Beliau berkata, langkah itu sebagai mengiktiraf secara berterusan peranan wanita sebagai pemimpin dan penyumbang penting kepada kemajuan sosio-ekonomi dan kemakmuran negara.

Baca juga:   PIP bakal rancakkan perdagangan dengan Thailand - PM

“Sehubungan itu, selaras dengan amalan terbaik antarabangsa, setiap GLC tersenarai hendaklah mencapai tahap penyertaan wanita sekurang-kurangnya 30 peratus sebagai ahli lembaga pengarah menjelang mesyuarat agung tahunan pada tahun 2023,” kata beliau.

Sementara itu, bagi mencapai net zero carbon emissions pada tahun 2050 sepertimana yang digariskan dalam objektif negara di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) semua GLC dan GLIC disaran mempunyai sasaran jangka masa sederhana ke arah matlamat tersebut.

Baca juga:   Tunjukkan kepada dunia semangat juang Harimau Malaya

“Kerajaan berharap agar pengumuman dasar-dasar ini akan memberi manfaat dan kesejahteraan berterusan kepada Keluarga Malaysia,” katanya.

Sebelum itu, Perdana Menteri berkata, GLC dan GLIC amat penting dalam mencapai visi negara berpendapatan tinggi pada tahun 2025.

Jelas beliau, pembabitan GLC dalam perkhidmatan asas seperti bekalan tenaga, petrol, air, logistik, telekomunikasi telah membolehkan kita mempelbagaikan ekonomi daripada yang berasaskan pertanian dan sumber asli kepada sektor perindustrian dan berteraskan teknologi seperti semikonduktor.

Bahkan, tambah Perdana Menteri, ini menjadi benteng terhadap krisis kewangan Asia 1997-1998 dan krisis kewangan global pada tahun 2008.

“GLC dan GLIC juga berperanan penting dalam membangun dan mempertahankan kemajuan sosioekonomi negara.

“Entiti-entiti seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Khazanah Nasional dan Petronas telah banyak membantu negara membina infrastruktur kritikal dan mencapai aspirasinya,” kata beliau.

Baca juga:   Jawatan Senator akan dilantik dalam kalangan belia - PM

Ismail Sabri berkata, GLC dan GLIC tersebut telah menyumbang kira-kira RM445 bilion atau 25 peratus permodalan pasaran Bursa Malaysia, memberi pekerjaan langsung kepada setengah juta Keluarga Malaysia dan penyumbang terpenting dalam rantaian bekalan negara. – Edisi 9

Terkini

“3A” pendekatan Pemuda BN tambat pengundi

PEMUDA Barisan Nasional (BN) perlu menggunakan pendekatan "3A" dalam menjamin serta memastikan kemenangan di setiap kawasan yang ditandingi oleh calon...

Lagi Artikel Berkaitan