32.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

Ekspo Dubai: Malaysia peroleh potensi pasaran lebih RM70 bilion

Nilai tersebut diperoleh melalui 131 MoU dan pertanyaan perniagaan melibatkan 4,558 mesyuarat, termasuk potensi padanan perniagaan.

Mesti Baca

MALAYSIA meraih potensi nilai perdagangan, pelaburan dan petunjuk perniagaan bernilai lebih RM70 bilion secara keseluruhannya bagi 26 program mingguan pada Ekspo 2020 Dubai, mengatasi sasaran yang ditetapkan, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Perdana Menteri, nilai tersebut diperoleh melalui 131 Memorandum Persefahaman atau Perjanjian Perkongsian, dan pertanyaan perniagaan melibatkan sejumlah 4,558 mesyuarat, termasuk potensi padanan perniagaan. 

“Sebelum penyertaan di ekspo ini, Malaysia menetapkan sasaran untuk mencapai antara RM8 bilion hingga RM10 bilion bagi potensi peluang perdagangan dan pelaburan sepanjang enam bulan ini berasaskan pencapaian Malaysia di Ekspo Astana, Kazakhstan pada 2017,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Apresiasi Ekspo 2020 Dubai di Emeriyah Arab Bersatu (UAE) hari ini.

Hadir sama adalah Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba; Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah dan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Mahdzir Khalid.

Ekspo 2020 Dubai berlangsung selama enam bulan bermula Oktober 2021 sehingga 31 Mac ini.

Perdana Menteri menyaksikan salah satu MoU yang ditandatangani di Ekspo 2020 Dubai di UAE hari ini.

Ismail Sabri berkata, selain itu Pavilion Malaysia juga menerima 1.1 juta pengunjung sejak bermulanya penganjuran ekspo tersebut sehingga semalam (29 Mac), yang mana ia merupakan satu lagi pencapaian yang membanggakan negara.

“Sebanyak 452 buah syarikat dari Malaysia turut hadir untuk menyertai program perdagangan dan perniagaan yang dilaksanakan secara minggu bertema, mengetengahkan lebih daripada 10 industri, termasuk kesihatan, pendidikan, industri halal, pelancongan dan lain-lain,” katanya.

Advertisements

Perdana Menteri berkata berkata tema Pavilion Malaysia iaitu Energising Sustainability tercetus daripada Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang menjadi pelan hala tuju lima tahun untuk mencapai pertumbuhan ekonomi dan mentransformasikan Malaysia menjadi sebuah negara yang makmur, inklusif dan mampan.

“Pelan hala tuju tersebut berpaksikan tiga tema iaitu menetapkan semula ekonomi, mengukuhkan keselamatan, kesejahteraan dan keterangkuman serta memajukan kemampanan.

“Pavilion Malaysia menerima kunjungan lebih daripada 130 delegasi peringkat tinggi antarabangsa termasuk dari Amerika Syarikat, Arab Saudi, Australia, Argentina, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan United Kingdom (UK) serta Kesatuan Eropah.

Perdana Menteri bersama menteri-menteri Kabinet yang menyertai rombongan di hadapan Pavilion Malaysia sempena Ekspo 2020 Dubai.

“Perbincangan tersebut disertai lebih daripada 21,000 orang secara fizikal dan 515,000 orang secara maya bagi meningkatkan pemahaman umum tentang kepentingan, kesukaran dan cabaran yang dihadapi dalam usaha mengimbangi pembangunan sosio-ekonomi dengan kelestarian alam sekitar,” kata Ismail Sabri.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan telah memberi peluang kepada 400 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) untuk mengembangkan perniagaan dan menerokoa peluang baharu di luar negara.

Untuk itu, kata beliau, kerajaan telah menanggung kos yuran penyertaan semua PMKS di Ekspo 2020 Dubai dan mereka hanya perlu menanggung kos penginapan dan tiket penerbangan sahaja.

“Ini membuktikan komitmen kerajaan untuk membantu, menyokong dan memperkasa PMKS.

“Saya mahu lebih banyak PMKS dapat melebarkan sayap ke peringkat antarabangsa yang mana boleh membantu
mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan, seterusnya meningkatkan taraf hidup Keluarga Malaysia,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sistem eDKK dinaik taraf menjadi sistem bersepadu ANAK – Nancy

JABATAN Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam proses menaik taraf Sistem Semakan Pesalah Jenayah Seksual Terhadap Kanak-Kanak Dalam Daftar Kanak-Kanak (eDKK)...

Lagi Artikel Berkaitan