24.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Dewan Negara lulus cuti bersalin 98 hari

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

PERSIDANGAN Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang Kerja (Pindaan) 2021, yang antara lain membabitkan pertambahan cuti bersalin daripada 60 hari kepada 98 hari selaras Konvensyen Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Rang undang-undang itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Awang Hashim selepas dibahas oleh 17 orang senator.

Terdahulu, Awang ketika menggulung perbahasan rang undang-undang itu berkata, rasional meningkatkan tempoh cuti bersalin daripada 60 hari kepada 98 hari itu adalah bagi memastikan pekerja wanita mendapat rehat yang cukup serta mengeratkan hubungan ibu dan anak.

“Selain itu, ia bagi memelihara keselamatan dan kesihatan pekerja wanita serta tumbesaran anak dan menggalakkan penyertaan golongan wanita dalam pasaran buruh.

“Peningkatan ini juga mengambil kira faktor bahawa kebanyakan negara jiran sudah memberikan cuti 90 hari atau lebih sebagai contoh Indonesia yang memberikan 90 hari (cuti bersalin), Korea juga memberi 90 hari (cuti bersalin) dan rakan perdagangan kita, Jepun memberikan 98 hari cuti bersalin,” katanya hari ini.

Awang berkata, faedah cuti bersalin itu dapat memberi perlindungan kepada pekerja wanita sekali gus mengekalkan mereka dalam sektor pekerjaan serta menarik minat kaum wanita memasuki pasaran kerja.

Advertisements

Kerajaan pada 21 Mac lalu turut meluluskan cuti paterniti lelaki dilanjutkan daripada tiga hari kepada tujuh hari.

Awang berkata, pindaan berkenaan bertujuan memberi ruang kepada pekerja lelaki yang isterinya bersalin supaya dapat menguruskan kelahiran anak dalam tempoh yang mencukupi.

“Cadangan ini juga selaras dengan Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia Ceraian SR.5.4.2 yang menekankan konsep mengutamakan keluarga.

“Melalui pindaan ini, pekerja lelaki sektor swasta akan turut menikmati faedah yang sama seperti penjawat awam.

Tambahnya, pemberian cuti paterniti amat penting bagi menenangkan emosi isteri yang masih belum stabil, selain peranan penting yang dimainkan sebagai suami atau bapa yang bertanggungjawab untuk menjaga keluarga.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan