32.7 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Dewan Negara lulus RUU Pindaan Kesalahan Seksual Kanak-Kanak

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

DEWAN Negara meluluskan Rang Undang-undang Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak (Pindaan) 2023 bagi menangani perlakuan jenayah seksual terhadap golongan berkenaan susulan perkembangan teknologi pesat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Kerajaan Madani pada sesi persidangan parlimen kali ini berjaya membuat beberapa pindaan kepada Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Akta Keterangan Saksi Kanak Kanak 2007.

Menurutnya, pindaan-pindaan itu antaranya termasuk penggantian terminologi pornografi kanak-kanak dengan ‘bahan penganiayaan seksual kanak-kanak, mewujudkan peruntukan bagi kesalahan persembahan seksual oleh kanak-kanak dan kesalahan pemerasan seksual kanak-kanak.

Selain itu ujar beliau, pindaan juga dibuat membabitkan pembayaran pampasan bagi mangsa kanak-kanak dan menaikkan had umur saksi kanak-kanak.

Pindaan itu juga memberi kuasa kepada Mahkamah untuk melarang soalan-soalan tidak wajar (improper questions) kepada saksi kanak-kanak serta memperuntukkan mengenai pendengaran khas bagi saksi kanak-kanak untuk memberikan keterangan yang dirakam terlebih dahulu.

“Kerajaan sedar bahawa dengan perkembangan teknologi yang pesat, kesalahan-kesalahan seksual terhadap kanak-kanak juga dilakukan dengan menggunakan teknologi terkini.

“Oleh itu, undang-undang harus dipinda bagi menangani perlakuan jenayah seksual yang menggunakan teknologi baharu tersebut,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Azalina berkata, pihaknya mengambil kira pandangan daripada Civil Society Organisations (CSOs), Pesuruhjaya Kanak-Kanak, pakar akademik dan juga pemegang-pemegang taruh lain, beberapa cadangan akan dikemukakan bagi Fasa 2 untuk pindaan kepada undang-undang yang berkaitan.

Menurutnya, pindaan itu disasar untuk dilakukan pada persidangan parlimen yang akan datang.

“Antara cadangan yang dikemukakan adalah berhubung perkara-perkara seperti obligasi mandatori kepada penyedia perkhidmatan internet (ISP) untuk menyekat sebarang bahan penderaan seksual kanak-kanak.

Advertisements

“Memperluaskan penggunaan pendengaran pra-perbicaraan (pre-trial hearing) yang mandatori bagi kes melibatkan kanak-kanak untuk menggalakkan pegawai kehakiman mengurus kes melibatkan kanak-kanak secara lebih proaktif dan menetapkan peraturan asas cara atau kaedah kanak-kanak memberikan keterangan

“Memperkenalkan peruntukan baharu bagi mengiktiraf kewibawaan kanak-kanak untuk memberi keterangan bagi menggantikan peruntukan kanak-kanak masih mentah (tender years),” katanya.

Manakala, cadangan keempat pula ialah pemansuhan keperluan sokongan mandatori bagi semua keterangan kanak-kanak dan ia diterima secara sama dengan keterangan-keterangan lain dan pemansuhan keperluan Transkrip dalam bahasa asal yang diberikan oleh kanak-kanak semasa rakaman video.

“Walau bagaimanapun, cadangan-cadangan ini akan terus dikaji secara lebih mendalam dan sesi libat urus dengan semua pemegang taruh dan pakar yang berkaitan akan terus dilaksanakan sebelum persidangan Parlimen yang akan datang,” katanya.

Dalama pada itu, beliau juga menegaskan, Kerajaan dalam proses penggubalan Rang Undang-Undang khusus bagi menubuhkan Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak yang bebas sebagaimana yang telah dipersetujui oleh Jemaah Menteri.

“Kerajaan merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pemegang taruh, agensi Kerajaan, CSOS dan pakar-pakar termasuk UNICEF Malaysia; CRIB Foundation (Child Rights Innovation & Betterment); Voice of the Children; Kemban Kolektif, ENGENDER; Monsters Among Us (MAU); Women’s Aid Organisation; Women’s Centre for Change (WCC); Association of Women Lawyers (AWL); Johor Women’s League (JEWEL); Sarawak Women for Women Society (SWWS); All Women’s Action Society (AWAM); Bar Council Child Rights Committee; dan ChildLine.

Ujar beliau, pihak-pihak berkenaan, antara golongan yang telah menyumbang kepakaran mereka kepada penambahbaikan Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan Akta Keterangan Saksi Kanak Kanak 2007 dalam usaha mereka meningkatkan kesedaran orang awam terhadap penganiayaan seksual kanak-kanak.

“Kerajaan Madani tidak berkompromi terhadap jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan melihat bahawa pindaan kepada akta-akta ini merupakan suatu langkah kukuh dalam usaha untuk membanteras jenayah seksual terhadap kanak-kanak di Malaysia.

“Kerajaan juga menyeru orang ramai membuat laporan di balai polis terdekat sekiranya mengetahui tentang kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak, atau menghubungi Talian Kasih di 15999,” katanya.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan