27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

19 kontraktor ditahan kemuka penyata bank palsu RM49 juta

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SERAMAI 19 orang kontraktor ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini selepas dipercayai mengemukakan penyata bank palsu bernilai kira-kira RM49 juta kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.

Menurut sumber, kesemua suspek berusia 24 hingga 53 tahun itu ditahan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu kira-kira pukul 10 pagi selepas disyaki mengemukakan penyata bank palsu sebagai dorongan untuk memasuki tender beberapa buah sekolah di seluruh Sabah.

“Kesemua suspek yang ditahan terdiri daripada 10 lelaki serta sembilan wanita itu akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, Sabah dalam masa terdekat.

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 471 Kanun Keseksaan,” lapor Kosmo yang memetik sumber.

Sumber memaklumkan, pada tahun 2020, SPRM telah menahan seramai 39 kontraktor selepas dipercayai mempunyai modus operandi sama melibatkan nilai kontrak berjumlah lebih RM80 juta.

“Ia menyaksikan 132 pertuduhan dilaksanakan di Mahkamah Khas Rasuah Sabah tahun lalu,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi telah mengesahkan tangkapan tersebut.

Jelas Karunanithy, SPRM memandang serius berhubung kesalahan tersebut dan susulan daripada kes-kes berkenaan beberapa aktiviti pencegahan telah dilaksanakan bagi menangani isu berkaitan.

“Antara usaha yang telah dilaksanakan ialah mengadakan beberapa sesi penerangan kepada pihak kontraktor seperti penganjuran seminar integriti bersama kontraktor hasil kerjasama antara Kementerian Kewangan Negeri Sabah dengan SPRM Sabah pada 25 Ogos 2020.

“SPRM Sabah pada 27 Mac tahun lalu juga telah mengadakan Forum Anti Rasuah: Peranan Kontraktor Dalam Menangani Rasuah hasil kerjasama antara SPRM Sabah, Majlis Perbandaran Tawau (MPT) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB),”katanya.

Tegas beliau, golongan kontraktor juga diingatkan supaya tidak mengemukakan sebarang dokumen palsu bagi tujuan memasuki mana-mana kontrak kerajaan kerana ia merupakan satu kesalahan serius.

“Persatuan-Persatuan Kontraktor disaran mengambil langkah proaktif dengan mengingatkan ahli-ahli mereka supaya jangan sesekali terlibat dengan kesalahan-kesalahan berkaitan.

“SPRM Sabah akan sentiasa bekerjasama dengan persatuan kontraktor bagi mendidik serta meningkatkan kesedaran golongan tersebut supaya mereka tidak terlibat dengan mana-mana salah laku khususnya kesalahan berkaitan rasuah,” ujar beliau.

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan