26.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, September 29, 2022

Kerjasama kerajaan Persekutuan, negeri pulih ekonomi negara

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

HASIL kerjasama kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang sentiasa berganding bahu menyalurkan keperluan Keluarga Malaysia membolehkan negara mencapai pemulihan ekonomi, kestabilan politik dan kesejahteraan sosial ketika ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kejayaan itu tidak lain adalah dari kerjasama erat dalam memastikan tiada sesiapapun yang tertinggal, seterusnya menangani jurang pendapatan dan membasmi kemiskinan.

“Pandemik COVID-19 telah membawa impak yang besar ke atas kehidupan seharian Keluarga Malaysia, dan Kerajaan tidak pernah alpa dalam menyediakan bantuan daripada segi kewangan, sosial mahupun peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Dataran Angsana di sini hari ini, yang turut dihadiri Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad.

Dalam usaha membantu Keluarga Malaysia, Perdana Menteri berkata, kerajaan telah melakukan pelbagai inisiatif, antaranya menerusi Baucar Perlindungan Tenang, Satu Keluarga Satu Rumah, Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-henti (SBST), selain penyediaan Rumah Mampu Milik dan jalur lebar tanpa wayar.

Selain SBST yang dijangka memberi manfaat kepada 6.4 juta penumpang setahun, beliau berkata, kerajaan memperuntukkan RM150 juta untuk pelaksanaan perkhidmatan myBAS.

Merujuk perkhidmatan pengangkutan awam di Johor, menurut beliau, sebanyak 128 myBAS kini dilaksanakan di Johor mulai Mac, membabitkan 19 laluan di lima koridor iaitu Kota Tinggi, Masai, Kulai, Gelang Patah dan Pontian, dengan jajaran perkhidmatan sejauh 1,052 kilometer.

Baca juga:   Dua anggota polis tidak mengaku salah terima rasuah

“Kerajaan turut menawarkan rebat 50 peratus atau RM150 bagi pembelian kerusi keselamatan kanak-kanak Keluarga Malaysia (MyCRS), untuk kereta persendirian golongan B40,”katanya.

Baca juga:   Akaun Amanah Bencana: PM hargai sumbangan penjawat awam

Menyedari kepentingan pendigitalan dalam memudahkan urusan seharian Keluarga Malaysia, katanya, beberapa strategi dan inisiatif sudah dirangka dan sedang dilaksanakan di beberapa kementerian, misalnya Pembangunan Sistem Janji Temu Klinik (SJTK) di klinik kesihatan.

Perdana Menteri berkata, sistem itu bertujuan memberi peluang kepada rakyat untuk memilih slot janji temu yang bersesuaian, tanpa perlu hadir ke premis kesihatan.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan turut komited meningkatkan perkhidmatan Jalur Lebar Tanpa Wayar, dengan melaksanakan inisiatif penyediaan 5G bagi akses lebih pantas dan berkualiti dan membantu komunikasi dalam talian.

“Bagi memperhebatkan kualiti perkhidmatan Internet, Kementerian Komunikasi dan Multimedia turut mengambil inisiatif memantau kualiti perkhidmatan Jalur Lebar Tanpa Wayar di seluruh negara, dalam tempoh enam bulan dan projek rintis ini akan dimulakan di Johor membabitkan 3,000 lokasi,” katanya.

Dalam hal ekonomi pula, Ismail Sabri berkata, kerajaan akan memastikan agensi berkaitan Pelaburan Langsung Asing (FDI) melaksanakan program bagi memudahkan operasi perniagaan di negara ini.

Menyingkap kejadian bencana banjir yang melanda beberapa kawasan di Malaysia termasuk Johor awal tahun ini, beliau berkata, kerajaan memperuntukkan lebih RM1.4 bilion untuk meringankan beban mangsa banjir, dengan mengekalkan bantuan sehingga RM10,000 bagi setiap ketua isi rumah melalui Bantuan Banjir Keluarga Malaysia.

Baca juga:   PM akan bertemu wakil industri, dewan perniagaan

Perdana Menteri turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Johor diterajui Hasni, yang memberikan bantuan tambahan RM500 bagi setiap keluarga terkesan dengan bencana itu.

“Saya percaya, sinergi sebegini menunjukkan betapa pentingnya kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya.

Ismail Sabri berkata, pelbagai inisiatif diambil bagi membantu Keluarga Malaysia yang terkesan akibat pandemik COVID-19, antaranya Program Subsidi Upah, Insentif Pengambilan Kerja atau PenjanaKerjaya, portal MyFutureJobs, Program Pembangunan Siswa Sulung Keluarga Malaysia (SULUNG), Young Employable Student (YES!), Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia dan Semarak Niaga Keluarga Malaysia (SemarakNiaga) bernilai RM40 bilion untuk membantu sektor perniagaan bangkit semula.

Baca juga:   Kenyataan media Muhyiddin letak jawatan palsu - PMO

“Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia yang dilancarkan kerajaan baru-baru ini bermatlamat untuk mengurangkan kadar pengangguran ke paras bawah 4.2 peratus, melalui penyediaan 600,000 peluang pekerjaan yang membabitkan peruntukan RM4.8 bilion, selaras dengan ‘Penciptaan Peluang Pekerjaan’ sebagai satu teras utama Bajet 2022,” katanya.

Jelajah AKM adalah kesinambungan daripada kejayaan penganjuran program 100 Hari AKM yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Disember lalu, berkonsepkan perkhidmatan secara langsung kepada rakyat.

Jelajah AKM di Johor bermula Khamis dan berakhir hari ini merangkumi pelbagai aktiviti, antaranya Program Jamin Kerja Keluarga Malaysia, Jualan Keluarga Malaysia, gerai usahawan, Citarasa Keluarga Malaysia, program sukan seperti e-sukan dan sukan rakyat. – Edisi 9

Terkini

Pensyarah UiTM buat gangguan seksual ditamatkan perkhidmatan

SEORANG pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang didakwa melakukan gangguan seksual terhadap bekas penuntutnya sebelum ini telah ditamatkan perkhidmatannya...

Lagi Artikel Berkaitan