24.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

10,662 lokar disediakan atasi beg sekolah berat – Radzi

Sebuah pasukan petugas akan ditubuhkan bagi memberi laporan secara berkala perlaksanaan inisiatif untuk mengurangkan beban beg berat murid

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEBANYAK 10,662 buah lokar akan disediakan di sekolah-sekolah rendah di seluruh negara dalam usaha mengatasi masalah bebanan beg sekolah berat yang dihadapi murid-murid.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, peruntukan sebanyak RM37.3 juta akan disediakan di bawah fasa pertama yang dilaksanakan tahun ini dengan keutamaan kepada sekolah-sekolah dua sesi bagi keperluan murid Tahap 1.

Beliau berkata, di bawah fasa kedua, penyediaan lokar ini akan diperluaskan kepada murid-murid Tahap 2 bagi sekolah-sekolah dua sesi yang dijangka dilaksanakan tahun depan.

“Bagi murid-murid di sekolah satu sesi, mereka boleh menyimpan buku mereka dalam dalam laci meja masing-masing.

“Penyediaan lokar ini adalah pendekatan baharu yang tidak pernah dilaksanakan Kementerian Pendidikan (KPM) selama ini,” katanya dalam kenyataan menerusi rakaman video hari ini.

Radzi berkata, penyediaan lokar itu merupakan satu daripada tujuh ketetapan yang akan dibuat oleh kementerian bagi mengatasi masalah beg berat yang sudah berlarutan sejak tiga dekad lalu.

Beliau berkata, KPM juga akan menyusun semula jadual waktu di mana hanya tiga hingga empat mata pelajaran sahaja yang diajar dalam sehari selepas mengambil kira pemberatan subjek, ketersediaan guru dan sesi persekolahan.

Katanya, sekolah juga akan diberi kelonggaran untuk menyediakan jadual waktu mengikut kitaran minggu di mana hanya subjek tertentu akan diajar dalam sesuatu minggu itu sekali gus mengurangkan buku teks yang di bawa.

Di samping itu, KKM juga akan menetapkan penggunaan buku latihan tidak lebih daripada dua buah bagi setiap subjek dalam satu-satu masa dengan setiap buku latihan tidak lebih daripada 80 muka surat.

Berkaitan buku aktiviti dan buku kerja, Radzi berkata, murid hanya dibenarkan menggunakan buku yang disediakan oleh pihak KPM manakala buku kerja pula hanya boleh digunakan sebagai bahan rujukan atau ulang kaji di luar waktu pengajaran dan pembelajaran (PdP).

“Ini kerana kami dapati ramai anak-anak kita membawa pelbagai buku aktiviti ke sekolah, yang secara tidak langsung menambah beban beg sekolah,” katanya.

Advertisements

Selain itu, KKM juga akan meneruskan usaha menyediakan buku teks dalam bentuk digital yang mana sebanyak 692 judul buku teks digital telah dimuat naik dalam pelantar Digital Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMA).

Beliau berkata, murid yang mempunyai peranti boleh mengakses buku teks digital tersebut melalui pelantar DELIMA.

Di bawah pendekatan keenam pula, guru digalak menggunakan pendekatan PdP berpusatkan murid iaitu pembelajaran bertema, modular, pembelajaran berasaskan projek, simulasi amali atau pembelajaran terbeza.

“Pendekatan ini bagi mengurangkan kebergantungan kepada buku teks di samping dapat meningkatkan keberkesanan PdP dan melahirkan PdP yang menyeronokkan,” katanya.

Di samping itu, beliau berkata, KPM telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bagi membenarkan murid-murid memakai uniform sekolah ketika menghadiri kelas KAFA.

Dalam pada itu, Radzi turut menegaskan sebuah sebuah pasukan petugas akan ditubuhkan bagi memberi laporan secara berkala perlaksanaan inisiatif untuk mengurangkan beban beg berat murid.

“Selain itu, kerjasama erat ibu bapa dan pihak sekolah juga diperlukan dalam memastikan murid membawa buku ke sekolah mengikut jadual ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata, isu beg sekolah berat telah mendapat perhatian kerajaan sejak tahun 1994 apabila satu kajian beban bukut sekolah rendah dilaksanakan.

Malah pada 2008 satu lagi kajian mengenai masalah tersebut dijalankan manakala pada 2017, laporan mengenai kajian perkara itu dikeluarkan namun isu tersebut terus membelegu murid-murid sekolah.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan