26.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

TVET perlu dijenamakan semula, gubal dasar baharu – PM

Bagi menghapuskan persepsi ibu bapa bahawa TVET adalah pendidikan kelas kedua atau tidak relevan

Mesti Baca

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu dijenamakan semula bagi mengubah persepsi ibu bapa bahawa bidang kemahiran adalan pendidikan kelas kedua atau tidak relevan.

Menurut Perdana Menteri, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga perlu menggubal dasar baharu berkaitan TVET agar ia tidak dianggap sebagai tempat pelajar tercicir.

“Ramai ibu bapa mempunyai persepsi negatif terhadap TVET ini dan menganggap pendidikan ini seolah-olah kelas kedua atau tertumpu kepada pelajar tercicir.

“Namun, kalau dibandingkan kepada negara luar seperti Jerman dan Perancis, pendidikan tersebut dijadikan pilihan utama,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Kolej Komuniti@Pontian di Kompleks Muafakat Sungai Pinggan, Pontian, Johor hari ini.

Hadir sama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ismail Sabri berkata, di bawah dasar baharu TVET, para pelajar diberi kelonggaran untuk membuat pilihan subjek dalam bidang yang mereka mahukan selain pelaksanaannya di peringkat lebih awal.

Sumber: Bernama

“Di negara maju yang lain, pendidikan TVET dimulakan di awal pendidikan namun berbeza di negara ini, TVET diajar kepada pelajar selepas Tingkatan Tiga, iaitu bermula dengan Tingkatan 4 ke atas barulah pelajar dapat membuat pilihan.

“Jadi, kita (kerajaan) mencadangkan untuk KPT menggubal satu dasar baharu tentang TVET, supaya pelajar-pelajar dapat membuat pilihan subjek yang mereka ingin ceburi daripada Tingkatan Satu,” katanya.

Mengenai peluang pemegang sijil TVET ke peringkat universiti, Ismail Sabri berkata perkara itu telahpun diperluaskan berbanding dahulu, apabila sijil pendidikan itu tidak boleh digunakan untuk melanjutkan pelajaran ke menara gading.

“…tetapi pada hari ini sudah ada beberapa universiti di negara ini telahpun menerima sijil vokasional dan sijil latihan TVET ini, untuk melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat universiti.

“Jadi, kepada ibu bapa jangan mempunyai perasaan rendah diri apabila anak-anak belajar di sekolah-sekolah vokasional dan TVET, kerana tagline kita adalah ‘TVET menjadi pilihan pertama untuk kerjaya’,” katanya.

Perdana Menteri juga yakin setiap tenaga mahir yang dilahirkan melalui program TVET berupaya memberikan satu anjakan perubahan yang konkrit, mampu mewujudkan pekerja mahir terlatih, serta berupaya mencipta pekerjaan sendiri dengan berbekalkan kemahiran yang dimiliki.

“Buktinya, kadar kebolehpasaran graduan TVET pada 2020 ialah 87 peratus iaitu melebihi daripada kadar kebolehpasaran graduan di peringkat nasional, yang direkodkan sebagai 84.4 peratus.

“Secara khususnya, kadar kebolehpasaran graduan kolej komuniti pada tahun sama ialah 94.2 peratus. Nilai ini adalah yang paling tinggi antara institut latihan kemahiran awam yang kita ada di Malaysia,” katanya.

Ismail Sabri berkata, graduan TVET termasuk juga kolej komuniti menjadi rebutan para majikan di luar sana, justeru kolej komuniti berperanan besar dalam menawarkan akses kepada komuniti setempat untuk meningkatkan kemahiran.

“Dengan pendekatan Pembelajaran Sepanjang Hayat (PSH) yang disediakan oleh kolej-kolej komuniti, saya yakin, hasrat untuk menyediakan keperluan latihan dan kemahiran di semua peringkat usia akan dapat dilaksanakan,” katanya.

Kolej Komuniti Satelit@Pontian itu merupakan kolej satelit kedua di Johor selepas kolej komuniti sama di Parit Sulong.

Selain kedua-dua kolej komuniti tersebut, kerajaan juga telah meluluskan peruntukan sebanyak RM61.2 juta bagi pembinaan kampus tetap Kolej Komuniti di Bandar Tenggara, Simpang Renggam, Pagoh dan Parit Sulong. – Edisi 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan