29.2 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

Zahid sedia sumpah laknat, nafi bawa fail jumpa Muhyiddin

Mesti Baca

DATUK Seri Ahmad Zahid Hamidi bersedia untuk membuat sumpah laknat bagi menafikan dakwaan Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa beliau datang berjumpanya dengan membawa timbunan fail meminta agar dia dibebaskan daripada kes mahkamah.

Pada masa yang sama Presiden UMNO itu mencabar Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) agar melakukan sumpah laknat bagi mengesahkan tuduhan jahat terhadapnya.

Berikut kenyataan penuh Zahid menerusi Telegramnya hari ini.

Menjelang sahaja musim pilihan raya kecil (PRK) atau pilihan raya negeri (PRN) akan keluarlah cerita, pemimpin UMNO bawa fail. Pemimpin UMNO buat rundingan. Pemimpin UMNO itu, pemimpin UMNO ini.

Jika tidak ada pilihan raya, tidak keluar apa-apa cerita. Tiada fail, tiada rundingan. Sekali pun pada masa tersebut, si penjaja cerita memegang jawatan tertinggi dalam negara.
Tetapi oleh kerana tidak ada pilihan raya – PRK atau PRN – maka semua cerita yang dikatakan itu seperti tidak perlu didedahkan.

Dalam hal ini saya ingin menegaskan beberapa perkara.

a) Saya tidak pernah pergi berjumpa dengan Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika beliau menjadi Perdana Menteri (PM). Apatah lagi dengan membawa timbunan fail seperti yang didakwa dan minta untuk dilepaskan dari tuduhan mahkamah.

b) Bagi membuktikan kebenaran ini, saya sanggup dan bersedia untuk melakukan sumpah laknat sebagai penafian kepada tuduhan jahat Muhyiddin ke atas saya.

c) Jadi saya ingin bertanya, adakah beliau juga bersedia dan sanggup untuk melakukan perkara yang sama? Iaitu bersumpah laknat bagi mengesahkan tuduhan jahat beliau ke atas saya?

d) Saya ingin tegaskan bahawa semasa saya menjadi Presiden UMNO, saya sendiri secara peribadi menyokong dan menaikkan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri dengan meminta 43 ahli-ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) khususnya dari UMNO untuk menyokong beliau dengan menandatangani akuan bersumpah (SD).

e) Sedangkan, sewaktu beliau menjadi Menteri Dalam Negeri, beliau yang pada satu peringkat hampir menandatangani pembatalan pendaftaran UMNO. Malah, semasa beliau masih menjadi PM, beliau yang ligat membuat percaturan belakang dengan menyusun pelbagai usaha dan pelan untuk memecahbelahkan UMNO dari dalam. Ini termasuklah dengan menawarkan ‘scheme of things’ kepada beberapa anggota pimpinan UMNO.

Advertisements

Dalam cerita-cerita ini, prinsipnya mudah – kebenaran itu berpilih-pilih. Perkara yang dianggap jahat dan menyalahgunakan kuasa hanya akan menjadi salah dan jahat jika tidak menyebelahi pihak mereka.

Semua mengetahui bahawa sebaik sahaja Pakatan Harapan {PH) dan Bersatu berkuasa, beberapa siri tekanan telah diberikan. Antaranya:

a) UMNO mesti menyingkirkan Datuk Seri Najib Razak dan saya sendiri serta mana-mana pemimpin yang berselisih secara peribadi dengan mana-mana pemimpin PH dan Bersatu.

b) Pemimpin-pemimpin UMNO mesti dituduh dan didakwa sebanyak mungkin. Melainkan mereka bersetuju untuk menyertai Bersatu, maka tuduhan-tuduhan tersebut akan digugurkan serta-merta, seperti keistimewaan yang diberikan kepada Datuk Seri Mustapa Mohamed dan (Datuk Wira) Mas Ermieyati (Shamsudin) yang pada mulanya dituduh namun digugurkan tuduhan mereka.

c) Pemimpin UMNO mesti membuktikan mereka bersih dan tidak bersekongkol dengan kejahatan dengan cara membubarkan UMNO sepenuhnya.

d) Pemimpin UMNO mesti mengelakkan diri dari disiasat dengan membawa masuk seramai mungkin ahli dan pemimpin UMNO ke dalam Bersatu.

e) Pemimpin UMNO dianggap sebagai terus bersalah sekali pun pendakwaan atau perbicaraan mahkamah masih berjalan. Manakala, jika pemimpin di pihak mereka seperti Syed Saddiq (Syed Abdul Rahman) dan Lim Guan Eng yang didakwa, mereka bukan kluster mahkamah dan prinsip ‘innocent until proven guilty’ terpakai kepada mereka. Tetapi tidak kepada pemimpin UMNO.

Jadi, saya tidak pelik. Cerita pemimpin UMNO bawa fail, merayu, berunding atau apa sahaja. Semua itu akan terus keluar. Dan percayalah, saya memberi ‘spoiler’ awal di sini. Selepas ini pasti akan lebih banyak cerita.

Kita tunggulah selepas penamaan calon dan tempoh berkempen dalam PRN Johor nanti. Pelbagai cerita pemimpin UMNO akan terus dijaja. Strategi mereka, jika tidak boleh menyerang calon-calon UMNO di Johor, alihkan perhatian ke drama di peringkat nasional.

Ayuh, ambil ‘popcorn’, kita tunggu episod seterusnya. Yang pasti, saya yakin, pengundi Johor lebih arif menilai semua ini.

Advertisements

Terkini

Apabila kita terlampau berlebih-lebihan meraikan Syawal

Oleh DR MOHD ISTAJID MOKHTAR BARANGKALI Malaysia merupakan antara negara Islam paling berlebih-lebihan dalam menyambut Aidilfitri. Tidak seperti negara-negara Islam Timur...

Lagi Artikel Berkaitan