27.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Malaysia lakar kejuaraan sulung badminton berpasukan Asia

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SKUAD lelaki negara melakar sejarah muncul juara Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) buat kali pertama selepas menewaskan seteru utama, Indonesia 3-0 pada aksi final, hari ini.

Kemenangan itu juga sekali gus membalas dendam kekalahan kepada Indonesia pada final dua tahun lalu di Manila, Filipina yang menyaksikan skuad negara tewas 1-3.

Pada perlawanan yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam itu, jaguh perseorangan negara, Lee Zii Jia seperti diramal memungut mata pertama negara selepas menewaskan Chico Aura Dwi Wardoyo 14-21, 21-12, 21-10 dalam tempoh 50 minit.

Beregu utama negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula menyumbang mata kedua untuk skuad negara menundukkan gandingan Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin, 17-21, 21-13, 21-18.

Ng Tze Yong mengutip mata kemenangan menewaskan Ikhsan Rumbay. – Sumber: Team Malaysia

Perseorangan kedua negara, Ng Tze Yong yang turun selaku perseorangan kedua negara muncul wira apabila meraih mata kemenangan.

Tze Yong nyata tidak berdepan masalah menewaskan Ikhsan Rumbay dengan straight set 21-14, 21-15.

Indonesia tampil di pentas final buat kali keempat dengan tiga kejuaraan sebelum ini bermula pada edisi pertama di Hyderabad pada 2016, Kedah (2018) dan Manila, Filipina dua tahun lalu.

Pencapaian terbaik skuad negara pula sebelum ini adalah mara ke pentas final di Manila.

Selepas ini skuad negara akan memberi fokus kepada saingan Piala Thomas yang akan berlangsung di Bangkok, Thailand Mei depan.

-EDISI9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan