36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

[VIDEO] Pelajar pulang bercuti tidak dibenar kembali ke asrama

Bagi memastikan para pelajar yang akan menduduki SPM berada dalam keadaan terlindung

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PARA pelajar yang tinggal di asrama bukan dari kelas peperiksaan dan pulang bercuti sempena Tahun Baharu Cina baru-baru ini tidak dibenarkan kembali ke asrama.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, para pelajar terbabit hanya perlu mengikuti sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) masing-masing.

“Keputusan itu dibuat bagi memastikan pelajar yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Februari dan Mac 2022 berada dalam keadaan terlindung.

“Kita mahu pastikan mereka (pelajar SPM) dapat menduduki peperiksaan dalam keadaan selamat dan teratur,” katanya rakaman video yang disiarkan menerusi Facebooknya hari ini.

Menurut Radzi, pihaknya akan terus memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sekolah-sekolah berasrama khususnya, terus dipertingkat.

“Pada masa sama, kementerian sudah meningkatkan pemantauan di sekolah bagi memastikan segala SOP dipatuhi dengan baik dan kita dapat kurangkan risiko jangkitan COVID-19 di sekolah,” katanya.

Selain itu, Radzi turut mengingatkan ibu bapa agar tidak menghantar anak-anak mereka ke sekolah minggu depan sekiranya terdapat gejala dan simptom berkaitan COVID-19.

“Untuk minggu yang akan datang, kita tahu minggu ini ramai ibu bapa yang membawa anak bercuti, balik kampung dan pelbagai aktiviti.

“Kami mohon jasa baik ibu bapa, sekiranya minggu depan apabila sekolah dibuka, jika anak menunjukkan gejala, pastikan mereka tidak ke sekolah.

“Ini penting bagi kita pastikan persekitaran sekolah berada dalam keadaan selamat dan dapat mengurangkan risiko jangkitan di sekolah,” katanya.

Beliau berkata, langkah-langkah itu terpaksa diambil memandangkan peningkatan kluster pendidikan terutama dalam kalangan para pelajar yang tinggal di asrama.

Katanya, berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) bagi tempoh 1 Januari hingga 1 Februari lalu, sebanyak 8,451 kes atau 7.51 peratus daripada keseluruhan 118,238 kes COVID -19 membabitkan kluster pendidikan.

“Terdapat 303 kluster pendidikan di seluruh negara iaitu 100 kluster atau 33 peratus melibatkan institusi pendidikan di bawah KPM, 86 kluster atau 28.38 peratus melibatkan institusi pendidikan bukan bawah KPM dan bakinya, 117 kluster atau 38.6 peratus adalah melibatkan lain-lain kluster,” katanya.-Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan