32.9 C
Kuala Lumpur
Wednesday, April 24, 2024

PRN Johor: Pejuang tidak mahu perasuah mendapat kuasa

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PENGLIBATAN Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang kerana tidak mahu kumpulan yang tidak amanah, rasuah dan mencuri harta rakyat mendapat kuasa.

Perkara itu ditegaskan oleh Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad menerusi warkahnya kepada ahli-ahli parti itu hari ini.

Ini merupakan pernyataan politik pertama bekas Perdana Menteri itu selepas dibenarkan pulang selepas mendapat rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) sejak bulan lalu.

Pemimpin berusia 96 tahun itu menegaskan, sekiranya itu berlaku, beliau mendakwa kumpulan berkenaan akan terus melakukan perbuatan yang merosakkan bangsa, agama dan negara.

Tegas bekas Perdana Menteri itu lagi, kuasa yang ada oleh seseorang pemimpin bukan untuk meraih kekayaan diri dan memuaskan nafsu duniawi.

“(Penyertaan parti Pejuang) untuk melepaskan negeri daripada cengkaman mereka yang sedemikian.

“Kerana itu perjuangan ini menjadi satu tanggungjawab, satu amanah yang perlu dipikul oleh setiap daripada kita yang mempunyai kesedaran,” katanya warkah tersebut.

Menurut Ahli Parlimen Langkawi itu lagi, parti Pejuang ditubuhkan oleh mereka yang sanggup melepaskan jawatan dan kedudukan kerana prinsip perjuangan.

Dr Mahathir menambah, Pejuang juga berbeza kerana terdiri daripada mereka yang tidak sanggup bersekongkol dengan pengkhianat dan kleptokrat.

Advertisements

Katanya lagi, ahli-ahli Pejuang di Johor seharusnya bangga kerana dipimpin oleh Bendahari Agung Pejuang, Datuk Dr Saharuddin Mohd Salleh, yang sanggup melepaskan jawatan dan kedudukan dalam kerajaan sebelum ini.

“Dr Shahruddin berdiri sebagai bukti bahawa pejuang-pejuang kita tidak meletak kepentingan diri sebagai objektif perjuangan.

“Namun, kita juga sedar laluan yang kita ambil bukanlah mudah. Tetapi perjuangan lahir daripada jalan-jalan yang berliku yang penuh dengan onak dan duri,”katanya.

Dalam masa sama, Dr Mahathir menzahirkan rasa terkilan kerana tidak dapat bersama ahli-ahli Pejuang bagi menghadapi PRN tersebut berikutan masalah kesihatan.

Walaupun beliau sedar ramai yang mempersoalkan kenapa tidak menumpukan kepada ibadat dan perkara-perkara akhirat, tetapi Dr Mahathir berkata, perjuangan untuk negara tidak pernah bernoktah.

“Perjuangan juga bagi saya satu ibadah, malahan satu amanah yang perlu kita pikul selagi hayat dikandung badan.

“Tetapi itu hak masing-masing. Yang penting niat dan tujuan kita melakukan sesuatu,” kata Dr Mahathir.

Pejuang akan bertanding 42 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan majoriti Melayu pada PRN Johor nanti.

Ia merupakan penyertaan pertama Pejuang dalam pilihan raya selepas menolak untuk bertanding dalam PRN Melaka dan PRN Sarawak sebelum ini disebabkan pandemik COVID-19.- Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tak boleh tolak permohonan pelanggan tidak fasih bahasa Melayu

PARA pegawai Jabatan Imigresen Malaysia tidak dibenarkan menolak sebarang permohonan hanya kerana pelanggan gagal menguasai bahasa kebangsaan. Bagaimanapun, menurut Ketua...

Lagi Artikel Berkaitan