36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Temu duga kerja secara langsung di Karnival Kerjaya Jamin Kerja

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KARNIVAL Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia memberi peluang kepada para pencari pekerjaan memilih pekerjaan yang sesuai di samping dapat ditemu duga secara langsung oleh majikan.

Kira-kira 12,000 peluang pekerjaan ditawarkan oleh lebih 50 majikan terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta mengambil bahagian.

Karnival tersebut nyata berjaya memberi banyak manfaat kepada pencari kerja dalan menerokai kebolehpasaran pekerjaan baharu.

Pencari kerja, Mohd Ferdaus Mansor, 31, berkata, Karnival Jamin Kerja memang bagus diadakan kerana dapat membantu para penganggur sepertinya untuk mencari peluang pekerjaan yang baharu.

“Di karnival ini, banyak majikan menawarkan pelbagai jawatan sekaligus dapat memberi pilihan kepada pencari kerja.

“Lebih-lebih lagi ia dibuat secara fizikal berbanding online dan bagi saya pendekatan seperti ini lebih baik untuk kita di temuduga secara terus oleh majikan.

“Saya galakkan usaha kerajaan seperti ini dapat diteruskan di masa akan datang,” katanya.

MOHD FERDAUS MANSOR

Katanya, dia sebelum ini bekerja di sebuah bank sebelum berhenti kerja dan telah menganggur sejak Julai tahun lepas.

“Saya cuba juga cari kerja sebelum ini, namun belum ada rezeki lagi dan berharap menerusi karnival ini dapatlah rezeki mendapat pekerjaan baharu nanti,” katanya.

Bagi graduan Ijazah Pentadbiran Keselamatan dan Kesihatan Universiti Malaysia Pahang, Hairi Nazwan Haron, 24, berkata, dia menyasarkan untuk menambah kemahiran menerusi program latihan yang ditawarkan.

“Memandangkan permintaan melebihi penawaran dalam sektor pekerjaan, jadi saya memikirkan untuk menambah kemahiran dalam bidang teknologi maklumat.

“Dengan penambahan kemahiran tersebut, secara tidak langsung, ia boleh dijadikan sebagai pengganti untuk saya mencari pula pekerjaan dalam bidang lain dan tidak hanya berfokus dalam satu bidang,” katanya.

HAIRI NAZWAN HARON

Sementara itu, graduan Universiti Kuala Lumpur, Shazila Abdul Ghani, 24, berkata, dia sempat di temuduga oleh tiga syarikat dalam Karnival Jamin Kerja tersebut iaitu Tenaga Nasional Berhad (TNB), Bateriku dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Sememangnya karnival ini memberi peluang yang sangat besar kepada pencari kerja seperti untuk mencari kerja, lebih-lebih lagi saya baharu tamat pengajian.

“Sasaran saya adalah untuk jawatan protege mengikut kepada kelayakan,” katanya yang berasal dari Serdang, Selangor.

SHAZILA ABDUL GHANI

Seorang lagi pencari kerja, Syafiqah Ishak, 25, berkata, selepas berhenti kerja kontrak, dia tidak menafikan berhadapan kepayahan untuk mencari pekerjaan baharu.

“Jadi menerusi Karnival Jamin Kerja ini, saya tidak lepaskan peluang untuk mencuba nasib,” katanya.

Graduan UniKL MIMET itu berkata, setakat ini, dia sempat ditemuduga dua syarikat sahaja.

“Saya berpandangan, jika dapat apa sahaja kerja, ambil sahaja tanpa perlu memilih,” katanya yang berasal daripada Alor Setar, Kedah.

Karnival tersebut dilancarkan oleb Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan