SEBANYAK 8,516 majikan telah memanfaatkan program Jamin Kerja – Insentif Penggajian yang dilaksanakan melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sehingga 28 Oktober lalu, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menurut Perdana Menteri, daripada jumlah itu ia membabitkan sebanyak 65,774 orang pekerja di seluruh negara.
Beliau berkata, di bawah inisiatif itu kerajaan menawarkan insentif kewangan kepada majikan sehingga RM42,000 untuk tempoh 12 bulan bagi setiap pekerja baharu yang diambil bekerja.
“Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia adalah manifestasi komitmen kerajaan menyediakan peluang pekerjaan yang lebih menyeluruh dan menghasilkan pembangunan ekonomi lebih mampan.
“Saya berharap para majikan memanfaatkan Program Jamin Kerja – Insentif Penggajian yang menawarkan insentif kewangan kepada majikan sehingga RM42,000 untuk tempoh 12 bulan bagi setiap pekerja baharu yang diambil bekerja.
“Impak positif daripada program Jamin Kerja -I nsentif Penggajian yang dilaksanakan oleh Perkeso telah diteruskan dalam Bajet 2023,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Keluarga Malaysia – Anak Muda Gegor Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, hari ini.

Hadir sama Pengerusi Perkeso, Datuk Seri Subahan Kamal dan Ketua Pegawai Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohamed.
Karnival itu dianjurkan bersama oleh Perkeso, HRD Corp dan Miat Quadra E-Sport Club bagi menghimpunkan anak muda dari Parlimen Bera dan kawasan sekitarnya.
Ismail Sabri berkata, berdasarkan Kajian Tahap Penerimaan Rakyat Terhadap Kerajaan dan Dasar Keluarga Malaysia yang dilaksanakan oleh Ilham Centre baru-baru ini, sebanyak 82.5 peratus rakyat mahu program Jamin Kerja diteruskan di masa hadapan.
Selain program Jamin Kerja Perkeso, kerajaan menerusi HRD Corp pula memperkenalkan HRD Corp Placemenet Centre (HPC) pada April tahun lalu.
“Ia merupakan portal sehenti pemadanan latihan kemahiran serta kaunseling dan bimbingan kerjaya yang telah menyediakan hampir 60,000 penempatan pekerjaan,” jelas Perdana Menteri.
Bagi rakyat Malaysia yang celik teknologi maklumat pula, kata beliau, kini lebih mudah mendapat pekerjaan menerusi Portal MYFutureJobs yang diiktiraf sebagai Portal Pekerjaan Negara kendalian Perkeso.
Katanya, sehingga 28 Oktober lalu, portal itu telah berjaya membantu 682,681 individu dari pelbagai kategori mendapat pekerjaan di seluruh negara.’
“Selaras dengan transformasi digital negara, HRD Corp juga memperkenalkan aplikasi super MyHRDCORP, yang menawarkan semua perkhidmatan, maklumat dan inisiatif dalam satu platform dan kini mempunyai lebih 12,000
pengguna.
“Bagi meningkatkan peluang pekerjaan khususnya bagi komuniti luar bandar, Perkeso dengan kerjasama beberapa kementerian, agensi dan institusi turut memperkenalkan Pusat Satelit MYFutureJobs,” katanya.
Perdana Menteri berkata, sehingga kini, terdapat 150 Pusat Satelit di pelbagai lokasi seluruh negara dan sembilan daripadanya terletak di negeri Pahang.
Kata Ismail Sabri, rakyat di Pahang dan sekitarnya berpeluang mendapat
akses kepada fasiliti Pusat Satelit ini bagi mendapatkan perkhidmatan pekerjaan termasuk akses kepada Portal MYFutureJobs.
Antara lokias Pusat Satelit tersebut ialah Pusat Komuniti Desa (PKD) Tembangau, PKD Janglau, Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi)
Kampung Balok Pantai serta PEDi Kampung Tempoyang. – Edisi 9