30.2 C
Kuala Lumpur
Wednesday, May 8, 2024

600,000 peluang kerja terhidang menerusi Inisiatif Jamin Kerja

Dengan peruntukan RM4.8 bilion menerusi tiga program di bawah pelbagai kementerian, agensi kerajaan

Mesti Baca

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini melancarkan Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia bagi mendukung matlamat menurunkan kadar pengangguran melalui penyediaan 600,000 peluang pekerjaan tahun ini dengan peruntukan RM4.8 bilion.

Perdana Menteri berkata, inisiatif itu dilaksanakan menerusi tiga program iaitu Insentif Penggajian yang dilaksanakan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Inisiatif Latihan dan Penempatan Jangka Pendek (MySTEP) dan Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran (UpSkill Malaysia).

Menurut beliau, sebanyak 300,000 peluang pekerjaan disasarkan di bawah Insentif Penggajian Perkeso diikuti 80,000 menerusi MySTEP sementara 220,000 lagi melalui UpSkill Malaysia.

“Kerajaan turut komited membantu komuniti usahawan yang menggaji dan mencipta peluang pekerjaan, supaya dapat terus berkembang dan membina semula perniagaan melalui inisiatif Semarak Niaga bernilai RM40 bilion,” kata beliau.

Ismail Sabri berucap demikian ketika melancarkan Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia dan Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Ismail Sabri Yaakob diiringi M. Saravanan (kiri) menghadiri pelancaran Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.

Perdana Menteri berkata, Insentif Penggajian memberi tumpuan kepada usaha merangsang para majikan untuk membuat pengambilan pekerja, terutamanya dalam kalangan individu yang tidak aktif bekerja.

Beliau berkata, ini termasuk golongan penganggur, golongan rentan seperti orang kurang upaya (OKU), bekas banduan, warga emas dan golongan wanita menganggur bagi tempoh berpanjangan bagi memastikan tiada golongan dipinggirkan.

“Setelah majikan diberikan insentif bagi pengambilan pekerja, pencari kerja boleh menggunakan Portal MYFutureJobs untuk mendapatkan padanan pekerjaan dan mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan.

Advertisements

“Insentif turut diberikan kepada majikan yang mengambil tenaga kerja tempatan bagi mengisikan jawatan yang kebiasaannya dilakukan oleh pekerja asing ataupun pegawai dagang,” kata beliau.

Ismail Sabri berkata, majikan yang layak akan menerima bantuan kewangan kerajaan antara 20 hingga 40 peratus daripada gaji kasar maksimum pekerja iaitu sebanyak RM10,000 bagi tempoh 12 bulan.

Kata Perdana Menteri, Program Jamin Kerja MySTEP pula yang menyasarkan 80,000 peluang pekerjaan secara kontrak yang merangkumi 50,000 pekerjaan dalam sektor awam dan selebihnya dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) untuk tahun ini.

Katanya, dengan jumlah peruntukan sebanyak RM1.7 bilion, program MySTEP akan diterajui oleh LAKSANA di bawah Kementerian Kewangan yang akan melaksanakan kolaborasi strategik bersama agensi-agensi kerajaan lain.

Menurut Ismail Sabri, di bawah Upskill Malaysia pula, sebanyak RM1.1 bilion diperuntukkan dengan sasaran 220,000 pelatih menjalani pelbagai program latihan semula dan peningkatan kemahiran.

Ini termasuk program ‘place and train’ iaitu latihan dengan jaminan pekerjaan, serta program peningkatan kemahiran dengan keutamaan dalam bidang digital yang akan
dilaksanakan oleh badan-badan termasuk HRD Corp dan Global Online
Workforce (GLOW) di bawah MDEC.

Pada masa yang sama, kata beliau, Kementerian Sumber Manusia menyediakan sebanyak 312 program temu duga terbuka dan karnival pekerjaan sepanjang tahun ini.

“Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia ini ialah pembuka tirai bagi 2022 dan yang pertama dianjurkan di seluruh negara, menawarkan lebih 12,000 peluang pekerjaan daripada 50 majikan, merentasi pelbagai industri,” kata beliau. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Benarkah kanak-kanak di Malaysia tak dapat cukup pendidikan?

Oleh DR ABD RAZAK ZAKARIA LAPORAN Bank Dunia berkaitan kualiti pembelajaran dan pendidikan di Malaysia baru-baru ini sedikit memberi kesan...

Lagi Artikel Berkaitan