36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Kebolehpasaran bakat dipertingkat menerusi pelbagai platform

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Sumber Manusia (KSM) sentiasa berusaha untuk meningkatkan ketersediaan dan kebolehpasaran bakat melalui pelbagai platform.

Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan berkata, antaranya, Insentif Penggajian Jamin Kerja yang dilaksanakan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), sebuah agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia.

“Selain itu, Platform Upskill Malaysia yang telah lancarkan oleh
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 2 Disember 2021, yang merupakan satu platform single window kebangsaan.

“Upskill Malaysia ini menyediakan maklumat menyeluruh berkaitan dengan semua program latihan dan pembangunan kemahiran untuk warganegara yang ditawarkan oleh Kerajaan melalui pelbagai kementerian dan agensi.

“Platform ini membolehkan individu untuk merancang serta merekodkan pengalaman, kelayakan serta latihan profesional mereka. Selain, meneroka pelbagai pilihan latihan kemahiran dan padanan terhadap kursus yang terbaik,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran Inisiatif Jamin Kerja di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Inisiatif itu dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sempena Karnival Jamin Kerja Keluarga Malaysia.

Menurut beliau, insentif penggajian Jamin Kerja ini adalah kesinambungan daripada program PenjanaKerjaya yang telah berjaya menyediakan pekerjaan kepada lebih 221, 966 individu menganggur pada tahun 2021, melebihi sasaran asal sebanyak 200,000 individu.

“Pada tahun ini, seramai 300,000 individu dijangka mendapat pekerjaan menerusi insentif penggajian Jamin Kerja, dengan fokus utama diberikan kepada golongan sasar melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM2 bilion.

“Antara golongan sasar yang dimaksudkan termasuklah pekerja kehilangan pekerjaan, individu menganggur, golongan mudah terjejas termasuk warga emas, Orang Kurang Upaya (OKU), bekas banduan, veteran askar, orang asli, graduan menganggur serta wanita.

“Tumpuan turut diberikan kepada individu yang memasuki sektor kritikal seperti pelancongan bagi menyokong pemulihan dalam industri ini.

“Pelaksanaan inisiatif ini akan disokong oleh penyediaan perkhidmatan pekerjaan di bawah KSM menerusi PERKESO iaitu MYFutureJobs,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, menerusi portal ini, kementerian dapat memastikan capaian inisiatif Jamin Kerja kepada kumpulan sasar di
seluruh negara.

“Selain itu, Karnival Kerjaya Jamin Kerja 2022 yang dilangsungkan secara serentak pada hari ini juga merupakan salah satu usaha yang dilaksanakan oleh PERKESO bagi membawakan peluang pekerjaan secara langsung kepada orang ramai.

“Karnival ini akan dilaksanakan menerusi beberapa secara menyeluruh ke seluruh negara pada masa akan datang.

“Menerusi usaha seperti ini, adalah diharapkan agar isu pengangguran dalam kalangan Keluarga Malaysia dapat ditangani dengan lebih berstruktur, berkesan dan menyeluruh.

“Untuk makluman saya juga telah mengarahkan PERKESO sebagai penyedia perkhidmatan pekerjaan negara untuk mengadakan lebih banyak program seperti ini untuk membantu lebih ramai pencari kerja untuk mendapatkan bantuan penempatan pekerjaan.

“Sehingga hari ini, sebanyak 18 Agensi merangkumi 10 kementerian bekerjasama untuk menjayakan inisiatif ini.

“Ini secara tidak langsung akan menjadi permulaan bagi KSM untuk meningkatkan momentum pemulihan ekonomi negara menerusi agenda penciptaan pekerjaan serta kecekapan pasaran buruh.

“Ia juga sekaligus dapat menangani isu berkaitan kekurangan pekerja dalam sektor tertentu yang telah dikenal pasti oleh Kerajaan, peluang pekerjaan yang saksama untuk golongan rentan serta masalah penggajian dalam kalangan majikan.

“Oleh itu, dengan pelaksanaan inisiatif Jamin Kerja, Kerajaan yakin lebih ramai lagi Keluarga Malaysia akan dapat mengecapi peluang kerjaya yang berkualiti dan bermakna,” katanya.

Ujar beliau, kementerian sentiasa komited dalam memperjuang serta memperkasakan pasaran buruh, yang menjadi faktor kritikal bagi tujuan pembangunan ekonomi negara. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan