34.5 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Kadar pengangguran pulih kepada 4.2 peratus – Tengku Zafrul

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KADAR pengangguran menunjukkan proses pemulihan apabila mencapai 4.2 peratus pada Disember tahun lalu setelah ekonomi negara mengharungi cabaran dan dugaan berikutan pandamik Covid-19 yang berpanjangan.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, sepanjang suku keempat tahun lalu, bilangan penyertaan dan tenaga buruh kedua-duanya terus meningkat susulan pembukaan lebih banyak sektor ekonomi dan waktu operasi yang lebih panjang.

Menurut beliau, sepanjang tahun 2021 juga, aktiviti perniagaan mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan, dengan jumlah perdagangan luar yang melebihi RM 2 trilion serta jualan borong dan runcit yang mencecah RM1.3 trilion.

“Alhamdulillah, sinar-sinar pemulihan yang jelas dapat dilihat di sebalik segala cabaran dan dugaan tahun lalu, dengan pertumbuhan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) meningkat sebanyak 3.1 peratus.

“Baru-baru ini, kita dapat lihat momentum ini kekal berterusan melalui
jumlah perdagangan yang meningkat hampir 25 peratus dari tahun
ke tahun kepada lebih RM200 bilion pada bulan Januari 2022,
dengan lebihan dagangan berjumlah RM18.4 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Pelancaran Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia dan Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 oleh Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Tengku Zafrul berkata, keyakinan pelabur asing terhadap prospek pemulihan ekonomi negara juga jelas kelihatan, dengan jumlah pelaburan langsung asing (FDI) bagi tahun 2021 yang melebihi RM50 bilion dan
aliran masuk bersih pelabur asing bagi pasaran bon tempatan yang
melebihi RM30 bilion.

Advertisements

“Kedua-dua ini merupakan nilai yang tertinggi berbanding tahun-tahun pra-pandemik.

“Kesemua ini mencerminkan keberkesanan langkah segera kerajaan
melalui lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi berjumlah RM530
bilion, yang turut dilengkapi oleh inisiatif-inisiatif Belanjawan 2021 berjumlah RM322.5 bilion, kejayaan Pelan Pemulihan Negara, serta pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang sistematik,” katanya.

Beliau berkata, bagi memastikan momentum pemulihan tersebut berterusan, inisiatif-inisiatif Bajet 2022 telah dirangka khusus untuk memperkukuh pemulihan yang kita telah berjaya kecapi, serta membina daya tahan dan memacu pembaharuan.

Katanya, Bajet 2022 yang mengembang serta pemulihan aktiviti ekonomi dan sosial, penyambungan semula projek dengan kesan pengganda yang tinggi serta permintaan luar yang kukuh akan terus memacu pertumbuhan KDNK yang diunjurkan sebanyak 5.5 hingga 6.5 peratus pada tahun ini.

Mengenai Inisiatif Latihan dan Penempatan Jangka Pendek (MySTEP) pula, Tengku Zafrul berkata, pada tahun lalu hampir 560,000 peluang pekerjaan berjaya dicipta berbanding sasaran awal sebanyak 500,000.

Beliau berkata, jumlah graduan yang ditempatkan di bawah inisiatif itu pula ada sebanyak 63,221 orang iaitu 66 peratus diletakkan di bawah pelbagai kementerian dan agensi kerajaan manakala 34 peratus lagi di bawah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan rakan-rakan strategiknya.

Katanya, jumlah itu lebih tinggi berbanding 50,000 yang disasarkan sementara bagi tahun ini, sebanyak 80,000 lagi peluang pekerjaan disasar dapat ditawarkan kepada para pencari kerja. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan