24.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

PM seru majikan, pencari kerja rebut peluang Inisiatif Jamin Kerja

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

DATUK Seri Ismail Sabri Yaakob menyeru para majikan termasuk agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta memanfaatkan peluang dan insentif yang disediakan di bawah Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia.

Menurut Perdana Menteri, ini kerana inisiatif tersebut akan memberi manfaat besar kepada majikan dan juga pencari pekerjaan di seluruh negara.

Beliau berkata, inisiatif itu merupakan manifestasi komitmen kerajaan dalam menyediakan peluang pekerjaan yang lebih menyeluruh sekaligus menyumbang ke arah pengukuhan pasaran tenaga kerja negara.

“Saya selaku Pengerusi Majlis Pekerjaan Negara (NEC) yakin bahawa usaha NEC dalam mempertingkatkan momentum penciptaan pekerjaan serta merancakkan pasaran kerja secara amnya akan dapat diteruskan menerusi Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia ini, yang seterusnya akan turut memperkasa pendapatan isi rumah Keluarga Malaysia khususnya kumpulan asnaf, B40 dan M40.

“Justeru, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan oleh kerajaan untuk memastikan setiap Keluarga Malaysia, baik yang bekerja mahupun mereka yang kehilangan pekerjaan akibat pandemik COVID-19, dapat meneruskan kehidupan sepanjang tempoh mencabar ini,” kata beliau.

Ismail Sabri berucap demikian ketika melancarkan Inisiatif Jamin Kerja Keluarga Malaysia dan Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur hari ini.

Hadir sama Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.

Ismail Sabri berkata, Malaysia berada pada landasan yang betul dalam usaha pemulihan ekonominya melalui penciptaan lebih banyak peluang pekerjaan baharu bagi memenuhi keperluan semasa pasaran buruh.

Advertisements

Malah sebanyak RM20.34 bilion telah disalurkan sebelum ini bagi membantu lebih daripada 350,000 majikan di seluruh negara menerusi Program Subsidi Upah (PSU).

“Inisiatif ini telah berjaya membantu mengekalkan seramai 2.95 juta pekerja dalam pekerjaan, sejajar dengan usaha Kerajaan untuk mengurangkan kadar pengangguran dan merancakkan semula pasaran buruh negara,” kata beliau.

Perdana Menteri berkata, Program Insentif Pengambilan Kerja atau Penjana Kerjaya pula telah membantu mewujudkan lebih 320,000 peluang pekerjaan baharu untuk pencari kerja, yang diberhentikan kerja, graduan menganggur dan golongan rentan seperti orang kurang upaya (OKU).

Katanya, kewujudan portal pekerjaan negara, MYFutureJobs di bawah Kementerian Sumber Manusia juga memainkan peranan yang sangat penting dalam memastikan aktiviti pasaran buruh kekal aktif dan saling menyokong implementasi program dan inisiatif lain seperti Program PenjanaKerjaya ketika tempoh pandemik ini.

“Saya juga mengharapkan penglibatan aktif daripada semua pihak termasuk pelbagai institusi daripada Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Pendidikan dan Majlis Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) untuk menggalakkan lebih ramai pelajar dan graduan
baharu mendaftar dengan portal MYFutureJobs.

“Langkah ini akan membolehkan mereka peka dengan peluang–peluang kerjaya dan perkhidmatan pekerjaan lain yang ditawarkan seperti kaunseling kerjaya, program keboleh pekerjaan, karnival kerjaya dan sesi temu duga terbuka bersama majikan,” kata Perdana Menteri.

Beliau berkata, pencari kerja yang ingin mendapatkan perkhidmatan padanan pekerjaan juga kini boleh menghadirkan diri terus ke pusat-pusat MYFutureJobs di seluruh negara seperti di Pejabat PERKESO, Pusat Transformasi Bandar (UTC) dan juga Pusat Satelit MYFutureJobs di kawasan luar bandar dan institusi pengajian tinggi awam dan swasta.

Kata beliau, Portal MYFutureJobs kini menempatkan lebih 465,379 pencari kerja dengan pekerjaan baharu, manakala kira-kira 57,791 orang perantisan yang terdiri daripada golongan pelajar dan graduan telah berjaya mendapatkan pekerjaan. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan