24.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Pusat Penempatan Pekerjaan diwujudkan di setiap negeri

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN akan menubuhkan Pusat Penempatan Pekerjaan (NPC) di setiap negeri secara berperingkat bagi menyokong usaha mewujudkan 600,000 peluang pekerjaan di negara ini.

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, perkara tersebut diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam Mesyuarat Pemulihan Negara semalam.

Menurut beliau, dengan adanya NPC, syarikat-syarikat yang ingin menawarkan peluang pekerjaan boleh menggunakan pusat sehenti tersebut untuk bertemu dengan pencari kerja, menyediakan program latihan kemahiran dan pembangunan kemahiran serta menawarkan penempatan pelatih atau latihan praktikal.

“NPC juga akan menyediakan kemudahan berkaitan dengan proses pengambilan pekerja yang akan memudahkan majikan serta rakyat Malaysia antaranya, bertemu dengan kaunselor kerjaya untuk mendapatkan penilaian kerjaya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ujar Saravanan lagi, individu juga boleh mendapatkan maklumat lanjut untuk mencorak laluan kerjaya serta kursus pembangunan kemahiran yang boleh disertai untuk mereka kekal berpengetahuan dan berkemahiran.

Advertisements

Menurut beliau, individu yang melawat pusat tersebut boleh membuat pendaftaran di portal MYFutureJobs untuk mendapatkan akses yang lebih luas kepada peluang pekerjaan di seluruh negara.

“Menerusi portal berkenaan, individu boleh mencari dan memohon pekerjaan yang sesuai dengan pengalaman, minat dan kelayakan masing-masing menerusi bimbingan wakil sokongan di pusat tersebut.

Semalam, Perdana Menteri mengumumkan sejumlah 1,200 pekerjaan baharu diwujudkan pada Januari lalu bagi mencapai sasaran penciptaan 600,000 pekerjaan pada tahun ini.

Menurut Ismail Sabri lagi, KSM telah diarahkan merangka strategi yang khusus bertujuan meningkatkan lagi peluang pekerjaan bagi golongan belia.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Bantuan awal kepada waris mangsa nahas helikopter TLDM

KERAJAAN bersetuju menyalurkan bantuan awal sebanyak RM10,000 kepada setiap keluarga mangsa nahas dua helikopter milik Tentera Laut Diraja Malaysia...

Lagi Artikel Berkaitan