30.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Peguam kes Rosmah positif Covid-19, bicara kes ditangguh

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

MAHKAMAH Tinggi Kuala Lumpur menangguhkan sehingga 23 Februari ini perbicaraan kes rasuah Datin Seri Rosmah Mansor kerana salah seorang peguamnya tidak hadir selepas disahkan positif Covid-19.

Timbalan Pendakwa Raya Kanan Datuk Seri Gopal Sri Ram memberitahu, pihaknya dimaklumkan bahawa peguam Datuk Akberdin Abdul Kader disahkan positif Covid-19 sejak Sabtu lalu.

Menurut Sri Ram, seorang lagi peguam Rosmah, Datuk Jagjit Singh yang disahkan negatif, bagaimanapun tidak hadir ke mahkamah hari ini.

Sementara itu, Hakim Mohamed Zaini Mazlan turut memaklumkan, pihak mahkamah menerima surat daripada Tetuan Jagjit Singh & Co. memaklumkan situasi terkini peguam-peguam yang mewakili isteri bekas Perdana Menteri.

Beliau menyatakan, Akberdin didiagnos positif Covid-19 manakala Jagjit dan Azrul Zulkifli Stork terpaksa menjalani kuarantin kendiri kerana berstatus kontak rapat selepas bertemu Akberdin pada 10 Februari lalu.

“Saya mendoakan Akberdin segera pulih daripada Covid-19,” jelasnya pada awal prosiding hari ini.

Mahkamah turut dimaklumkan, Akberdin telah menerima dua dos suntikan vaksin manakala dos penggalak sepatutnya diterima pada 17 Februari ini.

Dalam pada itu, Sri Ram menarik perhatian bahawa Rosmah telah memfailkan permohonan untuk memanggil semula saksi pendakwaan ke-17, iaitu Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin.

Sri Ram berkata, pendakwaan akan menjawab afidavit permohonan itu selewat-lewatnya Khamis ini.

Sehubungan itu, Hakim Mohamed Zaini memberitahu, mahkamah akan menyambung perbicaraan pada tarikh tersebut dan seterusnya mendengar permohonan Rosmah untuk memanggil semula Saidi pada tarikh sama.

Pihak pendakwaan sepatutnya menyoal balas saksi pembelaan kedua iaitu bekas Pegawai Khas di Bahagian First Lady of Malaysia (FLOM) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Siti Azizah Sheikh Abod.

Mahkamah sedang mendengar kes pembelaan Rosmah atas pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima RM6.5 juta berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak.

Beliau didakwa meminta suapan RM187.5 juta daripada Saidi yang merupakan Pengarah Urusan Jepak Holdings Sdn. Bhd. (Jepak) untuk dirinya sendiri yang dibuat melalui bekas pegawai khasnya, Datuk Rizal Mansor melibatkan 15 peratus nilai kontrak.

Wang berkenaan sebagai upah membantu Jepak mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltaic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia.

Rosmah didakwa melakukan perbuatan itu di Lygon Bistro, G-24, Ground Floor, Sunway Putra Mall, 100, Jalan Putra, Chow Kit di sini antara bulan Januari dan April 2016.

Bagi pertuduhan kedua, Rosmah didakwa menerima rasuah berjumlah RM1.5 juta daripada Saidi sebagai upah membantu Jepak mendapatkan projek itu.

Kesalahan didakwa dilakukan di kediamannya di No. 11, Jalan Langgak Duta, Taman Duta pada 7 September 2017.

Rosmah turut didakwa menerima suapan RM5 juta daripada Saidi menerusi Rizal kerana membantu Jepak mendapatkan projek serupa.

Kesalahan didakwa dilakukan pada 20 Disember 2016 di kediaman rasmi di Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya.

Tuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Sesyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

-EDISI9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan