25.3 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

KKM akan mulakan beri ubat antiviral kepada pesakit COVID-19

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) dalam proses membangunkan Covid-19 Clinical Care Pathway bagi memulakan ubat antiviral terkini yang akan diberikan kepada pesakit COVID-19 berisiko tinggi pada peringkat awal ketika mereka bergejala ringan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata, ubat antiviral terkini yang akan diberikan kepada pesakit COVID-19 ini bagi mencegah jangkitan menjadi lebih teruk.

Menurut beliau, rawatan antiviral ini akan meliputi pesakit di Klinik Kesihatan, Pusat Penilaian COVID-19 (CAC), Pusat Kawalan dan Rawatan COVID-19 (PKRC) dan juga hospital bagi pesakit yang dimasukkan ke wad.

“Rawatan akan dimulakan selepas bekalan ubat antiviral ini tersedia,” katanya pada sidang media hari ini.

Dalam pada itu Khairy berkata, peningkatan kes COVID-19 buat masa ini masih tidak menjejaskan sistem kesihatan negara, walaupun negara kini berdepan dengan ancaman varian Omicron yang lebih mudah merebak.

“Ini sebahagian besarnya disumbang oleh pencapaian liputan vaksinasi lengkap bagi populasi yang tinggi,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, seperti hari ini, sebanyak 11,034 kes positif COVID-19 dan peningkatan ini bukan sesuatu yang luar jangka kerana situasi ini disebabkan penularan varian Omicron yang lebih mudah merebak seperti yang berlaku di negara-negara lain di seluruh dunia.

“Kali terakhir negara kita melaporkan kes lima angka adalah pada 2 Oktober 2021, iaitu empat bulan yang lalu di mana terdapat peningkatan ketara kes baharu harian pada bulan Februari tahun ini. 

“Sejumlah 5,566 kes baharu COVID-19 dilaporkan pada 1 Februari; 5,736 kes pada 2 Februari 2022; 5,720 kes pada 3 Februari; 7,234 kes pada 4 Februari; 9,117 kes pada 5 Februari dan 10,089 kes pada 6 Februari,” katanya.

Khairy berkata, kebanyakan kes juga merupakan kes yang tidak bergejala atau bergejala ringan, dalam kategori klinikal satu dan dua.

Advertisements

“Buat masa ini, kadar penggunaan katil COVID-19 di fasiliti kesihatan kekal berada di tahap yang tidak membebankan,”katanya.

Sementara itu, katanya, semua klinik kesihatan bersedia untuk menerima kedatangan pesakit yang tinggi dan sehingga 7 Februari lalu terdapat 370 CAC di Klinik Kesihatan dan di komuniti yang sedang beroperasi untuk membuat penilaian pesakit positif COVID-19.

“CAC berfungsi untuk mengenal pasti pesakit yang memenuhi kriteria untuk dipantau di rumah.

“Menilai dan memantau perkembangan pesakit sepanjang tempoh pengasingan, mengenalpasti dan menyelaras pesakit yang perlu dirujuk PKRC dan hospital.

“Selain itu, menjalankan penilaian dan pelepasan (release order) kepada kes positif yang tamat tempoh pengasingan dan PKD akan sentiasa mengenal pasti Klinik Kesihatan dan dewan orang ramai yang sesuai untuk menambah bilangan CAC bagi menampung pertambahan kes COVID-19 jika ada keperluan,” katanya.

Walau bagaimanapun, Khairy berkata, individu positif COVID-19 kategori satu (tiada gejala) dan 2A (gejala ringan) dan tidak berisiko tinggi (60 tahun ke bawah dan tidak mempunyai sebarang komorbid) tidak perlu hadir ke CAC.

Katanya, pesakit perlu melakukan pemantauan kendiri setiap hari melalui Health Assessment Tool (HAT) dalam aplikasi MySejahtera.

“Sistem pesanan ringkas (SMS) atau panggilan daripada perkhidmatan Automated Voice Recording (robocall) akan dihantar sekiranya pesakit tidak menjalankan pemantauan kendiri melalui MySejahtera.

“Individu yang perlu hadir ke CAC terdekat untuk penilaian tahap keterukan jangkitan akan dimaklumkan melalui MySejahtera atau dihubungi CAC melalui SMS atau panggilan telefon yang senarai penuh lokasi, nombor telefon dan waktu operasi boleh didapati di https://covid-19.moh.gov.my/hotline,” katanya.- Edisi 9

Advertisements

Terkini

Khairul Azhari calon PN bagi PRK Kuala Kubu Baharu – Muhyiddin

PEMANGKU Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut diumumkan sebagai calon Perikatan Nasional (PN)...

Lagi Artikel Berkaitan