32.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, April 23, 2024

Ismail Sabri harap VTL darat dapat dilaksana sebelum hari raya

Mesti Baca

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob amat berharap agar perjalanan vaksin lengkap (VTL) melalui jalan darat antara negara-negara jiran dapat dilaksanakan segera.

Menurut Perdana Menteri, pada masa kini Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sedang mencari kaedah terbaik agar proses saringan di pintu sempadan negara dapat dilakukan dengan mudah dan cepat.

Beliau berkata, VTL darat tersebut amat penting memandangkan ia mampu meningkatkan dagangan antara kedua negara sama dan juga soal kekeluargaan.

“Saya harap VTL darat perlu disegerakan. VTL darat bukan sahaja melibatkan Malaysia-Thailand tetapi juga dengan Singapura yang mana hampir 200,000 pekerja kita berulang-alik dan ini perlu diselesaikan.

“Begitu juga dengan Brunei. Mereka yang ada di Limbang nak ke Tawas perlu merentasi sempadan Brunei, harap dapat diselesaikan dengan segera.

“Bukan jaminan, tapi saya boleh tegaskan perkara ini dapat diselesaikan sebelum hari raya,” kata Perdana Menteri kepada media Malaysia di Bangkok, pada akhir lawatan rasmi sulungnya ke negara itu hari ini.

Hadir sama Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Ismail Sabri Yaakob diiringi Prayut Chan-o-cha memeriksa perbarisan ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri Thailand itu di Rumah Kerajaan, Bangkok.

Ismail Sabri berkata, pembukaan sempadan negara terutama dengan Thailand amat penting memandangkan lebih 50 peratus atau USD10.5 bilion (RM45 bilion) hasil dagangan kedua-dua negara datangnya daripada perdagangan di sempadan.

Sehubungan itu, beliau berkata, pembukaan semula sempadan negara amat penting dan perkara itu menjadi agenda perbincangannya dengan Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha.

Advertisements

“Dalam hal ini, kami telah bersetuju agar perbincangan di peringkat agensi dapat digiatkan bagi membuka semula sempadan dalam masa terdekat melalui skim VTL bagi Malaysia atau Test & Go bagi Thailand.

“Sebagai permulaan, kita boleh melaksanakan VTL-Udara di antara Kuala Lumpur dan Bangkok bagi pengembara yang telah lengkap vaksinasi. Kita juga akan mempertimbangkan untuk menambah destinasi-destinasi yang lain di masa akan datang,” kata beliau.

Katanya, skim VTL itu juga akan diperkembangkan untuk pembukaan sembilan sempadan darat melalui Bukit Kayu Hitam-Sadao serta termasuk semua CIQ di utara semenanjung dan selatan Thailand di samping VTL laut antara Langkawi-Satun.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, beliau dan Prayut turut berbincang tentang projek kesalinghubungan Malaysia-Thailand iaitu pembinaan jajaran jalan menghubungkan Kompleks ICQS Bukit Kayu Hitam dan CIQ Sadao.

Katanya, kedua-dua pihak bersetuju agar kumpulan kerja pakar serta jawatankuasa teknikal menyegerakan rundingan mengenai jajaran tersebut.

Pada masa yang sama, kedua-dua pemimpin itu juga bersetuju untuk menyambung rundingan berkaitan pelaksanaan dua projek jambatan persahabatan merentasi Sungai Golok di Kelantan iaitu jambatan kedua Rantau Panjang-Sungai Golok dan jambatan baharu Pengkalan Kubor-Tak Bai.

Perdana Menteri menambah, Malaysia sedang menjalankan kajian untuk melaksanakan perkhidmatan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) di antara Kuala Lumpur-Bangkok.

“Kami berbincang mengenai keperluan masa akan datang untuk membina keretapi laju dari Kuala Lumpur ke Bangkok.

“Dalam hal ini, Malaysia dan Thailand bersetuju akan mengadakan kajian kebolehlaksanaan dan kita akan meminta kementerian dan jabatan yang berkaitan untuk mengambil tindakan segera,” katanya. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

TLDM tubuh lembaga siasatan tragedi nahas dua helikopter

TENTERA Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan menubuhkan lembaga siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian maut melibatkan dua buah helikopter...

Lagi Artikel Berkaitan