24.4 C
Kuala Lumpur
Wednesday, October 5, 2022

Baki 8 rakyat Malaysia sedang dibawa keluar dari Ukraine – PM

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan Malaysia sedang berusaha membawa keluar baki lapan lagi rakyat dan dua tanggungannya keluar dari Ukraine susulan konflik yang semakin meruncing di negara itu.

Menurut Perdana Menteri, mereka kini sudah berjaya keluar daripada Kiev tetapi tidak dapat mendedahkan lokasi sebenar sekarang demi keselamatan mereka.

“Kita jangka petang nanti akan dapat berita daripada mereka… Kementerian Luar sentiasa berhubung dengan mereka dan memaklumkan status dari semasa ke semasa,” katanya.

Ismail Sabri bercakap kepada wartawan Malaysia di Bangkok pada hari terakhir lawatan rasmi sulungnya ke Thailand yang turut disiarkan menerusi Facebooknya hari ini.

Hadir sama Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah.

Perdana Menteri berkata, terdapat seramai 23 rakyat Malaysia di Ukraine, terdiri daripada pegawai kedutaan dan pelajar dengan 12 daripadanya sudah keluar dari negara itu.

Baca juga:   PM penuhi hasrat remaja derita kanser tulang tahap empat

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Malaysia amat bimbang terhadap konflik yang semakin meruncing di Ukraine dan mendesak agar semua pihak segera mengambil langkah-langkah untuk meredakan situasi dan mengelakkan korban nyawa serta kerosakan.

“Pada waktu yang kritikal ini, setiap usaha perlu digandakan untuk mencapai penyelesaian aman kepada konflik ini melalui dialog dan rundingan berdasarkan undang-undang antarabangsa dan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” kata beliau.

Ismail Sabri berkata, Malaysia akan terus menyokong usaha-usaha berkenaan dalam mengekalkan keselamatan dan keamanan antarabangsa.

Baca juga:   Malaysia sasar pelaburan digital RM70 bilion menjelang 2025

“Majlis Keselamatan PBB (UNSC) perlu menjalankan tanggungjawab dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan dunia,” kata beliau.

Dua hari lalu, Presiden Rusia, Vladimir Putin telah mengarahkan pencerobohan ke atas Ukraine dengan menyifatkannya sebagai ‘operasi ketenteraan khas’ dan bukan bertujuan menduduki negara itu.

Putin berkata, Rusia tidak boleh wujud dengan ancaman berterusan yang berpunca dari wilayah Ukraine dan pertempuran antara askar Rusia dengan Ukraine tidak dapat dielakkan.

Daily Mail melaporkan, beberapa minit selepas Putin menyampaikan ucapan awamnya, ibu kota Kiev serta bandar Kramatorsk di tengah Ukraine dan Odessa di selatan digegarkan dengan serangan bom daripada bekas jajahannya itu. – Edisi 9

Wartawan

Terkini

Sikap tak endah urus harta si mati membimbangkan

SIKAP tidak mengendahkan pengurusan harta pusaka si mati, menyebabkan banyak harta pusaka yang tidak dituntut. Menteri di Jabatan Perdana Menteri...

Lagi Artikel Berkaitan