26.5 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Keluarga tidak lapor bapa positif Covid-19 akhirnya BID

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

TINDAKAN satu keluarga yang tidak melaporkan kes positif Covid-19 membabitkan bapa mereka kepada MySejahtera atau Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) akhirnya mengundang kematian atau brought in dead (BID).

Itulah yang berlaku terhadap satu keluarga di Pahang kerana ‘menyembunyikan’ kes Covid-19 dan cuba merawat sendiri wabak tersebut sepertimana diceritakan oleh Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Dr Nor Azimi Yunus.

Beliau yang sering memaparkan kisah-kisah berkaitan pesakit Covid-19 menerusi Facebooknya berkata, semua itu sebagai peringatan dan pengajaran kepada semua.

Katanya, kisah kali ini bermula apabila ada ahli keluarga tersebut pulang dari Kuala Lumpur untuk melawat ibu bapa mereka di kampung di negeri itu.

Ibu bapa mereka, katanya, mempunyai masalah penglihatan sehingga tidak begitu sihat untuk keluar ke sana-sini.

“Dua hari berada di rumah, si anak kembali semula ke Kuala Lumpur. Beliau bergejala dan akhirnya disahkan positif Covid-19.

“Sebaik berita berkenaan diketahui, semua ahli keluarga di kampung termasuk arwah terus melakukan ujian saliva (ujian air liur),” katanya.

Menurut Dr Nor Azimi, semua ujian ahli keluarga terbabit didapati negatif kecuali si bapa, namun mereka tidak melaporkan hal tersebut kepada PKD atau mengemas kini dalam MySejahtera.

Sebaliknya, kata beliau, bapa mereka dasingkan di bilik berasingan dalam rumah yang sama.

“Sama ada keluarga khuatir arwah seorang diri akan dibawa ke Hospital atau PKRC. Mungkin arwah selesa berada di rumah. Senang untuk famili pantau. Mungkin itu fikir mereka.

“Atau mereka bimbang keluarga akan dikategorikan sebagai kontak rapat dan pasti akan dipakaikan gelang dan dikurantin.

“Namun tindakan begini boleh mengundang komplikasi. Apalagi jika melibatkan warga emas.” katanya.

Dr Nor Azimi menegaskan, disebabkan kes positif itu tidak dilaporkan menyebabkan kes tersebut di luar pengetahuan PKD dan pemantauan terhadap kes tidak dapat dibuat.

Bagaimanapun, katanya, keluarga terbabit mengambil initiatif membuat ujian kendiri secara harian ke atas semua ahli keluarga.

“Tetapi mereka mungkin tidak mahir untuk memantau kesihatan arwah. Banyak contoh pesakit nampak sihat tapi sebenarnya telah berlaku komplikasi Covid-19.

“Sehari kemudian, pesakit didapati tidak sedarkan diri dan disahkan meninggal dunia. Ujian RTK Antigen (RTKAg) disahkan positif,” katanya.

Berdasarkan kisah keluarga di atas, Dr Nor Azimi menggariskan beberapa pengajaran yang patut diberi perhatian oleh semua pihak, antaranya:

1. Pastikan anda bebas dari Covid-19 jika ingin balik melawat ibu bapa atau keluarga di kampung. Jangan fikir balik sekejap tiada apa-apa.

2. Semua ujian saliva yang positif mesti dilaporkan supaya PKD boleh membuat pemantauan kes. Ini yang dikatakan TRIIS (Test Report Isolate Inform Seek) yang diulang-ulang oleh KKM.

3. Pesakit Covid-19 yang berusia sepatutnya dimasukkan ke hospital atau Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) supaya pemantauan rapi

Beliau berkata, mereka yang lebih berusia akan menghadapi komplikasi yang lebih tinggi berbanding orang muda.

“Tidak dinafikan kes positif boleh dikurantin di rumah. Tapi dengan syarat tertentu.

“Keluarga perlu mahir untuk pantau. Juga memerlukan pematuhan SOP yang ketat. Kebiasaan nya pematuhan SOP dikalangan keluarga hampir tiada,” katanya.

4. Dua dos vaksin tidak mencukupi. Pengambilan dos booster (penggalak) perlu bagi mengurangkan risiko komplikasi dan kematian. Arwah telah lengkap dua dos vaksin cuma belum lagi mengambil dos ketiga.

Katanya, kematian akibat Covid-19 sangat menyayat hati kerana urusan pengkebumian tidak sama sepertimana kematian penyakit lain.

“Bukan saja tidak mampu menguruskan jenazah. Melihat dari jauh pun tak boleh sebab sedang dikuarantin. Apalagi melihat orang tersayang buat kali terakhir.

“Ajal maut ditangan Allah SWT jua. Tapi manusia diminta berusaha dan beriktiar. Semoga arwah diberikan kerahmatan oleh Allah SWT dan dimasukkan ke dalam golongan orang yang beriman,” katanya.

-EDISI 9

Terkini

Amir Hamzah ketuai delegasi Malaysia ke mesyuarat IMF, WBG

MENTERI Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Musim Bunga Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)...

Lagi Artikel Berkaitan