27.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 25, 2024

Tiada kes kategori 4 atau 5 daripada kluster pendidikan – Khairy

Sifar kes kategori tersebut membuktikan vaksinasi berkesan dan membolehkan sekolah terus dibuka

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

TIADA satupun kes positif Covid-19 dikategorikan empat atau lima membabitkan 160 kluster pendidikan yang dilaporkan, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Sebaliknya, menurut beliau, semua kes terbabit hanya berada dalam kategori satu, dua dan tiga.

“Sifar kes dalam kategori tersebut membuktikan vaksinasi berkesan dan membolehkan sekolah terus dibuka,” katanya, lapor Astro Awani.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran Program Inunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (PICKids) di Hospital Tunku Azizah hari ini.

Khairy berkata, data daripada 1 Januari hingga 2 Februari 2022 pula menunjukkan hanya 14 sekolah ditutup dalam tempoh tersebut.

“Untuk kluster pendidikan, yang kita ada mengikut peringkat persekolahan daripada 1 Januari hingga 2 Februari, paling banyak adalah sekolah asrama di peringkat sekolah menengah, 108 kluster.

“Yang lain tidak tinggi sangat. Sekolah menengah harian ada 12 kluster, sekolah rendah harian 13 kluster, sekolah prasekolah 10 kluster, kolej berasrama 19 kluster, yang paling banyak sekolah menengah berasrama.

“Jumlah sekolah yang tutup akibat COVID-19, 14 sekolah sahaja. Maksudnya walaupun ada kluster, kita tetapi mengambil pendekatan penilaian risiko, kita tidak terus tutup. Kita akan pastikan bahawa kita membuat penilaian risiko terlebih dahulu,” katanya.

Tambah beliau, sekiranya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dapat mengasingkan mereka yang positif, maka sekolah boleh terus beroperasi.

Advertisements

Tegasnya, penutupan sekolah adalah langkah terakhir yang akan diambil dalam membendung penularan virus tersebut.

Sementara itu, Khairy berkata, Jawatankuasa Bertindak Imunisasi COVID-19 Kanak-Kanak (CITF-C) akan terus memberikan maklumat berkaitan keberkesanan dan keselamatan penggunaan vaksin kepada kanak-kanak berusia 5 hingga 11 tahun.

Menurutnya, pemberian vaksin secara sukarela tanpa paksaan kepada golongan ini adalah cara terbaik untuk melindungi kanak-kanak daripada COVID-19 dan komplikasi yang lebih teruk sekiranya dijangkiti.

“Saya tahu ramai ibu bapa yang masih risau dan masih ramai yang mengambil langkah wait and see kerana kita melihat kepada data pendaftaran semalam hanya 15 peratus daripada golongan kanak-kanak yang layak telah mendaftar.

“Kita akan terus beri maklumat terkini berkenaan keselamatan vaksin, keberkesanannya, kebaikannya kepada ibu bapa dan saya juga telah tegaskan vaksinasi kepada kanak-kanak adalah secara sukarela tanpa paksaan,” kata Khairy.

Jelasnya lagi, KKM tidak terburu-buru untuk melaksanakan pemberian vaksinasi kepada kanak-kanak.

“Sebenarnya Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) Amerika Syarikat (AS) telah meluluskan vaksin kepada kanak-kanak pada Oktober tahun lepas untuk kegunaan kecemasan.

“Tetapi kita mengambil beberapa bulan untuk membuat kajian melihat kepada data daripada negara lain yang dah mula vaksinasi terhadap kanak-kanak.

“Setelah mendapat keyakinan tersebut selain data klinikal yang dikeluarkan oleh syarikat pengeluar vaksin, kita dapati tiada banyak kesan sampingan yang serius, hanya kesan sampingan yang biasa selepas divaksin jadi ia selamat digunakan,” katanya.- Edisi 9

Advertisements

Terkini

Sultan Nazrin berkenan letak batu asas IPTTI, URCC UPSI

SULTAN Perak, Sultan Nazrin berkenan berangkat ke Majlis Perletakan Batu Asas bagi Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (IPTTI)...

Lagi Artikel Berkaitan