32.1 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Asyraf gesa timbang semula caj RM1 pengeluaran MEPS

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PEMUDA UMNO Malaysia menggesa Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz mempertimbangkan semula penguatkuasaan caj RM1 bagi setiap pengeluaran wang tunai antara bank (MEPS) di mesin pengeluaran wang automatik (ATM).

Ketuanya, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, penguatkuasaan yang bermula 1 Februari lalu merupakan tindakan tidak prihatin kerajaan kepada keadaan semasa rakyat.

“Ketika ini rakyat masih lagi bergelut dengan kekurangan tunai dan peluang pekerjaan yang rendah serta harga barangan keperluan asas yang berterusan mencanak naik.

“Malah, tinjauan ekonomi bagi tahun 2022 juga menjangkakan prospek pemulihan ekonomi yang lembab bakal meningkatkan lagi kos sara hidup rakyat.

“Sudahlah moratorium pinjaman bank mulai berakhir, manakala sehingga hari ini #TuntutanRakyat untuk pengeluaran kali terakhir RM10,000 wang simpanan KWSP mereka juga masih dipandang sepi oleh kerajaan,” katanya menerusi Facebooknya, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr. Asyraf berkata, bagi memastikan konsep dan falsafah Keluarga Malaysia dirasai rakyat kebanyakan, adalah perlu untuk kerajaan meneruskan pengecualian caj RM1 itu sekurang-kurang satu tahun lagi.

Ujar beliau, Pemuda UMNO Malaysia tidak melihat ada sebarang masalah bagi bank-bank utama tempatan untuk menyerap caj RM1 berkenaan demi rakyat kerana semakan keuntungan terkumpul bagi tahun 2021 sehingga 30 September 2021 (9M/2021) mencecah puluhan bilion ringgit.

Beliau turut menyenaraikan keuntungan terkumpul bank-bank iaitu Maybank sebanyak RM6.04 bilion, Public Bank (RM4.28 bilion), CIMB (RM3.44 bilion), Hong Leong Bank (RM2.17 bilion), RHB (RM1.99 bilion).

Diikuti AMMB mencatat keuntungan RM707.64 juta, Bank Islam (RM454.67 juta), Affin Bank (RM320.09 juta) dan Alliance Bank (RM315.75 juta).

Justeru, tegas beliau, Pemuda UMNO mendesak agar Menteri Kewangan untuk lebih berpihak kepada rakyat yang sedang susah dan gelisah dengan memenuhi tuntutan mereka termasuk menarik balik keputusan mengenakan caj pengeluaran itu.

Sebelum ini media melaporkan, mulai 1 Februari 2022, caj transaksi pengeluaran RM1 menerusi mesin pengeluaran ATM dikuat kuasa semula kepada pelanggan.

Beberapa bank antaranya Maybank, Bank Islam Malaysia Bhd, CIMB Bank, RHB Bank, Citibank dan HSBC memuat naik notis itu di platform media sosial masing-masing pada pertengahan Disember lalu.- Edisi 9

Terkini

Merakyatkan ilmu sains demi masa depan

Oleh PROF MADYA TS DR ZUL ILHAM ZULKIFLEE LUBES DALAM era di mana kemeruapan drastik, ketidaktentuan, kerumitan dan kesamaran ialah...

Lagi Artikel Berkaitan