32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Covid-19: Katil ICU di Johor semakin sesak

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KADAR penggunaan katil unit rawatan rapi (ICU) bagi pesakit Covid-19 di Johor mencecah 54 peratus sehingga semalam, iaitu tertinggi berbanding hospital di negeri-negeri lain yang berada di bawah 50 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, bagi penggunaan katil bukan ICU khusus bagi pesakit Covid-19 pula kini melebihi 80 peratus iaitu dengan Selangor mencatat jumlah tertinggi iaitu 95 peratus, diikuti Perlis dan Kelantan masing-masing 88 peratus.

Menurut beliau, sebanyak 4,700 pesakit Covid-19 berada di hospital dengan 376 kes atau 8 peratus daripada keseluruhan pesakit Covid-19 dalam kategori tiga, empat dan lima.

Beliau berkata, antara sebab kemasukan pesakit Covid-19 kategori 1 dan 2 ke hospital adalah untuk rawatan kecemasan seperti kencing manis atau darah tinggi yang tidak terkawal, baru dikenal pasti menghidap penyakit tidak berjangkit yang tidak terkawal seperti darah tinggi atau kencing manis semasa mendapat pemeriksaan di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC).

Turut dimasukkan ke wad adalah bagi penjaga kepada pesakit pediatrik dan geriatrik, kes obstetrik yang memerlukan pemantauan rapi dan pesakit immunocompromised seperti HIV, pesakit yang sedang menerima rawatan kemoterapi.

“Selain itu, kemasukan melalui wad kecemasan, keadaan rumah yang kurang bersesuaian, kes kanak-kanak, dehidrasi atau kekurangan air di dalam badan, demam berpanjangan dan kelesuan, mempunyai penyakit kronik serta tiada penjaga,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, bagi perbandingan Minggu Epidemiologi (ME) ke 5/2022, kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam pada ME ke 6/2022 bagi kategori tiga, empat dan lima menunjukkan peningkatan di semua peringkat umur kecuali golongan remaja.

Kata beliau, peningkatan berganda melibatkan golongan kanak-kanak, orang dewasa dan warga emas.

“Atas faktor peningkatan itu, semua kanak-kanak, remaja dan golongan dewasa serta warga tua yang layak disarankan untuk segera mendapatkan vaksinasi dan dos penggalak di pusat pemberian vaksin (PPV) berdekatan anda,” katanya.

Untuk rekod, jangkitan harian Covid-19 menurun sedikit hari ini dengan 21,072 kes dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 3,040,235 kes.

Noor Hisham berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 86 kes (0.41peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima serta 20,986 kes (99.59 peratus) kategori satu dan dua.

Mengikut pecahan, kategori 1 sebanyak 5,995 kes (28.45 peratus), kategori dua 14,991 kes (71.14 peratus), kategori tiga 58 kes (0.28 peratus), kategori empat 20 kes (0.09 peratus) dan kategori lima pula lapan kes (0.04 peratus),” katanya.

-EDISI9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan