25.4 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

KPLB peruntuk RM10 juta tingkat pendapatan luar bandar

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyediakan peruntukan RM10 juta bagi Program Peningkatan Pendapatan (PPP) tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, antara program berkenaan termasuklah Bantuan Warung Desa@KPLB yang dilaksanakan di Padang Terap, Kedah.

“Program tersebut merupakan pemberian bantuan peralatan dan latihan kepada kumpulan B40 di luar bandar bagi meningkatkan pendapatan semasa, seterusnya membantu mereka keluar daripada garis kemiskinan.

“Program itu juga bagi membantu usahawan kecil memiliki kios sendiri untuk menjalankan perniagaan mereka,” katanya selepas majlis penyerahan bantuan Warung Desa@KPLB di Padang Terap, Kedah, hari ini.

Jelas Mahdzir, PPP adalah program pemberian bantuan peralatan serta latihan kepada kumpulan B40 di luar bandar bagi meningkatkan pendapatan semasa dan seterusnya keluar daripada zon kemiskinan.

“Kadar bantuan peralatan maksimum RM10 ribu diberikan kepada setiap peserta.

“Tahun ini KPLB akan meneruskan fokus kepada kaedah mentor mentee bagi meningkatkan kelangsungan aktiviti ekonomi penerima bantuan,” katanya.

Tambah beliau lagi, tahun lalu, seramai 564 orang terpilih menerima bantuan PPP di seluruh negara.

Bagi bantuan PPP tahun ini, Mahdzir berkata ia dilaksanakan menerusi agensi-agensi KPLB seluruh negara termasuk Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah, KEDA di Kedah, dengan sasaran 950 orang peserta.

“Ini termasuk pemberian bantuan WarungDesa@KPLB yang dianggar melibatkan 300 orang penerima dengan peruntukan RM2 juta.

“Bagi fasa pertama, seramai 15 orang usahawan menerima bantuan Warung Desa@KPLB KEDA dengan nilai bantuan berjumlah RM75 ribu.

“Program bantuan Warung Desa@KPLB di bawah KEDA ini antara program bantuan yang dilihat mampu memberi impak positif kepada Program Peningkatan Pendapatan,” katanya.

Menurut beliau, pada tahun ini program Warung Desa@KPLB sedang dilaksanakan di dua daerah iaitu di Padang Terap dan di Sungai Petani sebagai permulaan.

-EDISI9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan