26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

KEDA bina 5,173 rumah untuk golongan miskin

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

LEMBAGA Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) berjaya membina 5,173 buah rumah golongan miskin di Kedah sejak penubuhannya pada tahun 1981.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, daripada jumlah itu, sejumlah 1,311 buah rumah telah didirikan di 14 buah Kampung Tradisional.

Manakala menurut beliau, 3,862 buah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di bina di 44 buah kampung di bawah Desa KEDA.

“Pembinaan rumah-rumah tersebut dibuat secara penempatan berkelompok dalam satu kawasan supaya dapat memudahkan penyaluran bantuan dan lain-lain kemudahan sosial bagi mencapai keharmonian dan perpaduan.

“Projek pembangunan rumah-rumah kampung seperti ini telah dilaksanakan oleh KEDA sejak Rancangan Malaysia Keempat (RMKe-4) lagi dan sehingga kini masih diteruskan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Taman Desa Pudina (PPK Kubang Kenyeng) di Padang Terap, Kedah, hari ini.

Sebahagian daripada 60 penerima dalam projek pembinaan perumahan di Taman Desa Pudina (PPK Kubang Kenyeng) di Padang Terap, Kedah, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi KEDA, Datuk Dr. Ku Abd Rahman Ku Ismail, Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun, Ahli Dewan Undangan Negeri Pedu, Mohd Radzi Md Amin, Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Nerang, Munir Muhamad Yusoff Zakaria dan Pegawai Daerah Padang Terap, Radzuan Osman.

Menurut Mahdzir, seramai 23,775 orang golongan miskin telah menerima manfaat sejak program bantuan perumahan KEDA itu dilaksanakan sejak RMK-4.

Bagi projek pembinaan perumahan di Taman Desa Pudina Mahdzir berkata, sejumlah 60 buah rumah dibina dengan kos keseluruhan RM9.5 juta.

Tambah beliau lagi, skop projek merangkumi kerja tanah berkeluasan keseluruhan 5.5 ekar, kemudahan infrastruktur iaitu jalan dalam penempatan, bekalan air, bekalan elektrik, loji rawatan kumbahan dan gelanggang futsal.

“Pembinaan Taman Desa Pudina adalah Projek Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) bertujuan untuk membantu meningkat taraf kehidupan masyarakat miskin luar bandar.

“Selain itu, pembinaan taman bukan sahaja akan memajukan kawasan sekitar daerah Padang Terap, malah keselamatan penduduk juga akan lebih terjamin.

Tambah Mahdzir, Taman Desa Pudina adalah lambang kejayaan projek di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar, KPLB, yang dilaksanakan oleh KEDA dengan membangunkan penempatan baharu yang dilengkapi kemudahan asas serta kondusif.

“Ia bertepatan dengan misi KPLB yang berusaha memanfaat sepenuhnya sumber manusia dan ekonomi serta membangunkan kawasan luar bandar bagi mewujudkan persekitaran sosio ekonomi yang lebih berdaya maju, sejajar dengan Dasar Pembangunan Luar Bandar (DPLB) 2030,” jelas Mahdzir.

-EDISI9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan