SERAMAI 20 individu termasuk dua wanita yang menganjurkan ‘private party’ tidak sempat goyang kepala apabila ditahan dalam satu serbuan di Sungai Petani awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, kesemua yang ditahan berusia antara 18 hingga 25 tahun.
“Hasil siasatan mereka datang dari Kedah dan Pulau Pinang dan dikatakan berada dalam sebuah rumah di kawasan perumahan Darulaman Perdana, Sungai Petani ketika diserbu kira-kira pukul 3 pagi.
Sehubungan dengan itu, katanya, kesemua yang ditahan dikompaun RM1,000 setiap seorang kerana tidak mematuhi penjarakan fizikal dengan berkumpul dan menganjurkan parti.
“Ketika pemeriksaan dilakukan, kita dapati kesemua mereka tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Mereka dibawa balik ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala untuk dikompaun dan tindakan selanjutnya,” katanya.
Menurut Adzli, hasil saringan awal polis mendapati, enam daripadanya positif dadah iaitu lima lelaki positif dadah jenis ketamin dan seorang lagi lelaki positif dadah jenis THC.
Kes disiasat mengikut Peraturan 16 (Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit Pelan Pemulihan Negara 2021) dan Seksyen 15 (1) Akta Dadah.-Edisi 9