26.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

JIM serbu ‘private party’, 84 warga asing ditahan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

DUA premis di Kuala Lumpur diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dalam operasi berasingan yang dilakukan termasuk membabitkan sebuah premis yang menganjurkan private party pada Sabtu lalu.

Lokasi pertama operasi membabitkan private party di Bukit Bintang dan lokasi kedua di sebuah penempatan warga asing di Brickfields, Kuala Lumpur.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, berkata, hasil daripada serbuan berkenaan, pihak berkuasa telah berjaya menahan 84 warga asing.

Beliau berkata, dalam kedua-dua serbuan itu, pihak JIM telah memeriksa seramai 365 individu dan hasilnya seramai 84 orang warga asing yang berusia diantara 20 tahun hingga 50 tahun telah ditahan.

“Dalam operasi pertama, pihak JIM telah menyerbu sebuah private party yang dijalankan oleh penganjur warganegara Malaysia dan tetamu terdiri daripada kalangan warga asing majoriti daripada benua Afrika.

“Semasa pemeriksaan dilakukan, telah berlaku beberapa aksi provokasi dan cubaan melarikan diri melalui pintu belakang premis. Walaubagaimanapun, situasi berjaya ditenteramkan dan pemeriksaan dapat dilakukan dengan baik.

“Seramai 171 orang telah diperiksa dan 25 orang telah ditahan terdiri daripada petugas majlis, artis persembahan, pelayan dan tetamu,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, antara kesalahan yang dikenalpasti ialah tiada dokumen yang sah, pas tamat tempoh dan salah guna pas.

“Setiap tetamu dikenakan bayaran masuk sebanyak RM150 secara atas talian dan lokasi party hanya akan dimaklumkan pada hari terakhir kepada tetamu bagi mengelakkan dikesan oleh pihak berkuasa.

“Party ini menghidangkan minuman keras dan persembahan yang mencolok mata. Rata-rata artis yang membuat persembahan dan tetamu terdiri daripada warga asing dan ramai dalam kalangan mereka memegang pas pelajar asing,”katanya.

Khairul Dzaimee berkata, serbuan kedua membabitkan sebuah penempatan warga asing berbentuk kontena tiga tingkat yang terletak di Brickfields.

“Pegawai serbuan telah mengepung kawasan penempatan ini sebelum memulakan pemeriksaan. Semasa pemeriksaan, terdapat cubaan melarikan diri.

“Kebanyakannya warga asing yang diperiksa terdiri daripada warganegara Bangladesh, Indonesia, Myanmar, Pakistan dan Nepal. Seramai 294 orang warga asing diperiksa dan 59 orang terdiri daripada pelbagai warganegara telah ditahan,”katanya.

Beliau berkata, antara kesalahan dikesan adalah tinggal lebih masa, tiada dokumen atau pas yang sah untuk tinggal serta peserta Program Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin yang ditolak.

“Semua kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan kesemua tahanan dibawa ke Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya untuk tindakan lanjut.

“Selain tahanan warga asing ini, beberapa orang warganegara tempatan termasuk penganjur majlis dan majikan turut dikenakan notis untuk hadir memberi keterangan,”katanya. – Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan