25.8 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Video September tahun lalu tular kembali – KKM

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

VIDEO sidang media oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berhubung pemberian dos penggalak Covid-19 hanya untuk kumpulan tertentu yang tular ketika ini adalah petikan video lama yang diambil pada September tahun lalu.

Kementerian Kesihatan (KKM) menjelaskan, kenyataan itu dikeluarkan Khairy ketika pemberian dos penggalak secara menyeluruh belum lagi bermula.

Menurut KKM, ketika itu dos penggalak hanya diberikan kepada golongan rentan terdiri daripada warga emas, mereka yang mempunyai komorbid dan terdedah kepada risiko jangkitan.

“Hanya selepas majoriti golongan itu menerima dos penggalak, barulah vaksinasi dos penggalak dibuka kepada populasi awam yang layak.

“Pada ketika itu juga, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bagi dos pertama dan kedua masih giat dilaksanakan. Kadar vaksinasi lengkap bagi penduduk dewasa ketika itu adalah 79.6 peratus, belum mencapai sasaran 90 peratus populasi dewasa.

“Aktiviti rentas negeri masih belum dibenarkan, manakala aktiviti keluar masuk negara juga masih dikawal ketat,” kata KKM melalui satu hantaran dalam Facebook.

Hari ini, tular di media sosial petikan video daripada sidang media Khairy yang menyatakan, dos penggalak hanya diberikan kepada golongan berusia 60 tahun ke atas, mereka yang mempunyai komorbid dan yang berisiko mendapat jangkitan, bukan untuk individu yang sihat.

Mengulas lanjut, KKM berkata, video itu dipetik daripada sidang media pada 20 September 2021 selepas Khairy meninjau perkhidmatan saringan Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama Pengerusi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

KKM menegaskan, pemberian dos penggalak diperlukan berdasarkan perkembangan semasa pemantauan keberkesanan vaksin dan cabaran yang dihadapi dengan kemunculan varian baharu virus Covid-19.

Katanya, banyak negara menawarkan pemberian dos penggalak kepada populasi dewasa mereka seperti United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Thailand, Indonesia dan Singapura.

-EDISI9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan