25.4 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

Rasuah: Bekas pensyarah luluskan pelajar didenda RM10,000

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

GARA-gara tindakan menerima rasuah berjumlah RM1,300 bagi memastikan lima pelajar lulus, seorang bekas pensyarah sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini.

Hakim Rozilah Salleh menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh, A. Arvind, 30, mengaku bersalah atas lima pertuduhan pilihan dibacakan kepadanya.

Arvind juga diperintahkan penjara sebulan bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh membayar denda terbabit.

Terdahulu, dalam prosiding tersebut mahkamah terpaksa ditangguhkan seketika apabila tertuduh kelihatan gelisah sehingga dia terus mengaku bersalah ketika pertuduhan utama pertama dibacakan.

Rozilah yang mencelah kemudian menerangkan kepada tertuduh bahawa dia mempunyai pertuduhan pilihan di mana hukuman adalah lebih ringan berbanding pertuduhan utama.

Bagi lima pertuduhan pilihan, tertuduh yang bertugas sebagai Digital Artist di Camou Studio & Academy Sdn. Bhd. didakwa telah diberikan rasuah berjumlah RM1,300 oleh lima individu dan gagal melaporkannya kepada pihak SPRM atau pihak polis.

Rasuah itu sebagai dorongan untuk mengubah keputusan subjek Animation 2-Rigging lima individu terbabit daripada gagal kepada lulus.

Perbuatan itu dilakukan di cawangan sebuah bank di Cyberjaya antara 17 Januari 2021 sehingga 16 Februari 2021.

Sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda RM100,000 atau kedua-dua sekali mengikut Seksyen 25(1) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama.

Jika pertuduhan utama, anak sulung daripada dua beradik itu dipenjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mana-mana lebih tinggi bagi setiap lima pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 16a(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) Akta sama.

Dalam prosiding itu, Arvind tidak diwakili peguam menyatakan dia hanya berniat untuk menolong para pelajarnya dan tidak dapat menanggung rasa bersalah atas perbuatannya itu.

“Sudah tujuh bulan, saya tidak mempunyai pekerjaan bagi menampung keluarga dan berharap dapat diberikan peluang serta bersumpah tidak buat kesalahan lagi,” jelasnya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Noryusriza Zulkifli memohon mahkamah mengambil kira kepentingan awam susulan kesalahan rasuah berleluasa lebih-lebih lagi kapasiti tertuduh sebagai pensyarah yang sepatutnya mendidik dengan nilai murni.

-EDISI9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan