25.6 C
Kuala Lumpur
Thursday, March 28, 2024

Pemuda UMNO mahu SPRM segera diletak di bawah Parlimen

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

PERGERAKAN Pemuda UMNO mahu agenda pembaharuan institusi dipercepatkan dengan meletakkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah seliaan Parlimen.

Ketuanya, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pembaharuan itu antara lain memberikan kuasa perlantikan Ketua Pesuruhjaya sebagai hak prerogatif Parlimen selepas proses tapisan terperinci due deligence dijalankan dan dicadangkan oleh Jawatankuasa Khas Parlimen mengenai calon berkelayakan.

“Dengan pembaharuan ini bermakna perkhidmatan Ketua Pesuruhjaya SPRM tidak sesekali mampu dipengaruhi unsur politik sebagaimana pernah berlaku dalam pemerintahan Pakatan Harapan (PH) terdahulu apabila bekas Ahli Pimpinan Tertinggi PKR Latheefa Koya juga pernah dilantik sebagai KP (Ketua Pesuruhjaya) SPRM hanya selepas Perdana Menteri Ke-8 daripada PH mengambil alih kerajaan.

“Ini juga bagi mengelakkan wujud campur tangan pihak eksekutif sebagaimana amalan hari ini dibawah Seksyen 5 Akta SPRM 2009 yang menyatakan Ketua Pesuruhjaya dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri,” kata beliau menerusi Facebooknya hari ini.

Sehubungan itu, Asyraf Wajdi berkata, Pemuda UMNO berpandangan hanya dengan menyegerakan agenda pembaharuan institusi, meletakkan SPRM di bawah Parlimen akan mengelakkan sebarang persoalan negatif berkaitan integriti dan ketelusan melibatkan badan terpenting untuk menangani jenayah rasuah.

“Ini sekaligus dapat mengembalikan keyakinan rakyat dan persepsi pelabur pada negara,”katanya.

Mengulas mengenai Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) yang berpuas hati dengan penjelasan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki, ia masih tidak meredakan persepsi negatif rakyat terhadap tahap integriti dan ketelusan SPRM.

Katanya, kenyataan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) yang menuntut penjelasan lanjut berasaskan kenyataan Azamn pula, menyerlahkan lagi keperluan siasatan bebas lebih terperinci memandangkan di bawah Seksyen 25 (4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 (SICDA), hanya pemilik akaun sekuriti dibenarkan memiliki saham.

Azam dalam sidang media pada Rabu lalu menafikan tuduhan beliau mempunyai kawalan ke atas beberapa syarikat termasuk syarikat konglomerat.

Beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai penipuan pihak tertentu untuk memberi persepsi negatif yang direka bagi menjatuhkan reputasinya dan SPRM.- Edisi 9

Terkini

China minta lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan – Zahid

CHINA meminta agar lebih banyak ruang kerjasama diwujudkan antara kedua negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid...

Lagi Artikel Berkaitan