24.6 C
Kuala Lumpur
Tuesday, October 4, 2022

PPDNHEP Pulau Pinang serbu premis salah guna logo halal

Mesti Baca

Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

SEBUAH premis yang disyaki menyalahgunakan penandaan logo halal pada produk mereka di Bukit Tengah, di Bukit Mertajam diserbu pegawai pejabat Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (PPDNHEP) Pulau Pinang semalam.

Pengarah PPDNHEP negeri, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, serbuan pukul 11 pagi itu dibuat susulan aduan yang diterima daripada orang ramai.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati premis tersebut mengeluarkan beberapa jenis barangan berkaitan kesihatan serta ubatan tradisional menggunakan logo halal yang tidak diperakukan.

“Sehubungan itu, kita merampas barangan terdiri daripada 4,392 unit minyak bijan; 3,192 unit minyak biji sawi; 7,968 unit air ros; 2,580 unit air lemuju (air tonik atau herba) dan 5,916 unit kapur.

“Secara keseluruhan, jumlah sitaan atau rampasan barangan itu dianggarkan bernilai RM54,402.90,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca juga:   Harga barang naik : KPDNHEP siasat terperinci dan menyeluruh

Mohd. Ridzuan berkata, kes itu disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011 yang jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama untuk kategori bukan pertubuhan atau perbadanan.

Menurutnya, kesalahan kedua dan seterusnya bagi kategori yang sama boleh didenda tidak melebihi RM250,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Sementara itu, bagi pertubuhan atau perbadanan pula, denda yang dikenakan ialah tidak melebihi RM200,000 bagi kesalahan pertama dan RM 500,000 bagi kesalahan kedua atau berikutnya,” jelas beliau.

Baca juga:   Pulau Pinang sumbang RM1.16b eksport produk kayu

Dalam pada itu, Mohd. Ridzuan mengingatkan mana-mana peniaga supaya lebih beretika serta tidak menggunakan penandaan halal yang tanpa diperakui oleh pihak berkuasa.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mereka jika didapati bersalah iaitu menggunakan logo halal tanpa kebenaran,” katanya yang memberitahu, aduan boleh dibuat dengan menghubungi bilik gerakan PPDNHEP negeri di talian 04-3840245 atau melalui portal e-aduan atau melalui aplikasi Whatsapp di nombor 019-2794317.

-EDISI9

Wartawan

Terkini

Lagi Artikel Berkaitan