
“SINGA tak berdebat dengan lalat.” Begitulah angkuhnya jawapan Naib Presiden DAP, Nga Kor Ming apabila ditanya berhubung perang mulut yang berlaku antara beliau dengan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh berhubung isu logo halal.
Ini bukan kali pertama pernyataan bongkak dikeluarkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu terhadap Dr Akmal yang hanya sekadar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, berkaitan isu halal.
Sebelum ini pun beliau mengeluarkan kenyataan dengan nada yang serupa… penuh arogan berkaitan isu halal!
“Dari kedudukan saya, komen saya: singa tidak berdebat dengan lalat.
“Dia tidak setaraf, jadi kami tidak akan bergaduh.” Itu kata-kata Kor Ming yang dipetik dari temubual beliau dengan China Press.
Sebelum ini, Kor Ming bermati-matian mempertahankan KK Mart, yang didapati menjual sandwic ‘ham’ berlogo halal palsu di premisnya di kampus Universiti Malaya (UM).

KK Mart sebelum ini terpalit dengan isu jual stoking dengan kalimah Allah sehingga menimbulkan kemarahan umat Islam. Malahan gerakan memboikot rangkaian kedai runcit itu juga dilakukan.
Kata Ahli Parlimen Teluk Intan itu, ham tidak bermaksud daging babi sebaliknya ia hanya proses pembuatan makanan tersebut.
Namun, pandangan beliau itu berbeza sama sekali dengan maksud daripada kamus atau istilah yang dipakai selama ini.
Atas sebab itu, Akmal sebagai pemimpin Islam yang memperjuangkan isu tersebut menganggap Kor Ming sebagai ‘bodoh’ kerana tidak dapat mengetahui makna sebenar ‘ham’.
Pemimpin muda lulusan doktor perubatan dari Russia itu memberi paku buah keras kepada Kor Ming dan mencadangkan beliau merujuk definisi ‘ham’ dalam Oxford Learner’s Dictionary.
Penulis percaya, oleh kerana sudah tidak ada modal untuk mempertahankan diri atau KK Mart, maka cara terbaik bagi Kor Ming adalah memperlekehkan Akmal dengan menggelarkannya ‘seekor lalat’.
Sudah pasti lalat yang dimaksudkan oleh Kor Ming bukan hanya seekor serangga kecil tetapi juga sebagai pengacau dalam hubungan antara DAP dan UMNO dalam kerajaan.
Bukan sahaja penulis, malah pakar geostrategik terkenal, Dr Azmi Hassan juga melahirkan rasa musykhil siapa sebenarnya seekor singa, apakah Kor Ming atau Akmal?
Beliau menganggap daripada suara lantang selama ini, Akmal bukan setakat seekor singa tetapi boleh jadi seekor naga!
“Amboi sombongnya. Just wondering who is the lion? Looking at Akmal behavior he is more than a lion, in fact a dragon!,” tulis Azmi dalam Facebook beliau.
Dalam hal ini, penulis bersetuju dengan pandangan Azmi bahawa Akmal adalah seekor naga yang banyak memperjuangkan isu rakyat, bukan sahaja soal logo halal, tetapi juga kebajikan petugas kesihatan khususnya doktor perubatan.
Apapun, sama ada seekor lalat atau naga, seperti juga suara-suara orang Melayu dan Islam lain, para pemimpin DAP kenalah berhati-hati dalam soal berkaitan Islam.
Benar, menjaga keharmonian kerajaan penting tetapi jauh lebih penting bagi umat Islam, termasuk Akmal ialah menjaga kesucian Islam itu sendiri.
Jadi, Kor Ming berhati-hatilah dalam berbicara kelak nanti dalam pilihan raya akan datang DAP jatuh tergolek dek kemarahan orang Melayu dan Islam.
Jangan ingat dah jadi menteri dengan jumlah kerusi terbanyak dah boleh menongkat langit. Sebab sesungguhnya langit itu tidak selalu cerah.
MTB – Teringat kisah Namrud mati kerana seekor nyamuk…