PEMASANGAN sistem panel solar dan simpanan bateri pada kapal luar pesisir, MV Keyfield Wisdom oleh Worldwide Holdings Berhad (WHB) telah mendapat pengiktirafan oleh Malaysia Book of Records (MBOR).
Ketua Pegawai Eksekutif WHB, Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata, pengiktirafan itu merupakan satu penanda aras baharu bagi pemasangan sistem tenaga boleh diperbaharui itu.
Beliau berkata, sebagai rakan kongsi EPCC (Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan), WHB memainkan peranan penting dalam penyelesaian tenaga mampan serta menjadi anjakan paradigma dalam mengintegrasikan tenaga boleh diperbaharui ke dalam operasi luar pesisir.
“Pengiktirafan oleh The Malaysia Book of Records ini adalah bukti komitmen berterusan terhadap kelestarian, inovasi, dan teknologi terkini.
“Kami berbangga untuk bekerjasama dengan Keyfield Offshore dalam projek perintis ini, dalam mempamerkan bagaimana tenaga boleh diperbaharui boleh membentuk semula operasi maritim serta membuka jalan untuk masa hadapan yang lebih hijau dan lebih mampan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Norazlina berkata, kesepaduan panel solar dan penstoran bateri pada MV Keyfield Wisdom menandakan satu langkah penting dalam mengurangkan pergantungan kepada sumber tenaga tradisional atau bahan api fosil, sejajar dengan matlamat kemampanan Malaysia yang lebih luas.
Katanya, WHB kekal komited dalam memajukan inisiatif tenaga boleh diperbaharui yang menyokong industri-industri dalam mengadaptasi penyelesaian yang inovatif, mesra alam dan mampan.
Untuk rekod, WHB merupakan anak syarikat milik penuh Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang terlibat dalam empat sektor perniagaan utama iaitu hartanah, pengurusan alam sekitar, tenaga dan peranti perubatan.
Syarikat itu diiktiraf sebagai peneraju utama dalam perkhidmatan pengurusan alam sekitar dan salah satu pemain utama dalam sektor pembangunan hartanah di Lembah Klang.
Mereka juga terliabt dalam sektor tenaga tertumpu kepada utiliti, terutamanya perniagaan berkaitan penjanaan tenaga, meliputi sumber tenaga terma dan tenaga boleh diperbaharui (RE). – Edisi 9

