BANK Rakyat melancarkan projek pemasangan sistem solar fotovoltaik (PV) bumbung di 84 cawangannya di seluruh Semenanjung Malaysia, sekali gus menjadi rangkaian penjanaan tenaga bersih teragih terbesar dalam kalangan institusi kewangan tempatan.
Projek berkapasiti terpasang 2.3 megawatt-peak (MWp) itu dibangunkan melalui kerjasama strategik dengan Cenergi SEA Berhad di bawah Skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) yang diluluskan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia.
Inisiatif tersebut turut dilaksanakan susulan Perjanjian Pembekalan Tenaga Boleh Baharu (SARE) yang dimeterai antara kedua-dua pihak, yang menyaksikan Cenergi membiayai, membina, mengoperasi dan menyelenggara sistem solar PV tersebut sebelum menjual tenaga terjana kepada Bank Rakyat untuk kegunaan sendiri.
Bank Rakyat dalam kenyataannya berkata, pelaksanaan projek itu menjadikan institusi tersebut antara perbankan tempatan terawal menggunakan sistem solar bumbung berskala besar.
Katanya, langkah itu dalam usaha mengurangkan kos elektrik serta menyokong sasaran negara meningkatkan penjanaan tenaga boleh diperbaharui kepada 31 peratus menjelang 2025 dan 40 peratus menjelang 2030.
“Projek ini membolehkan 84 cawangan Bank Rakyat di seluruh Semenanjung Malaysia menjana tenaga elektrik sendiri, sekali gus mengurangkan kos elektrik serta menyokong usaha Bank Rakyat menuju kelestarian dan peralihan tenaga negara,” kata kenyataan itu hari ini.
Selain pemasangan solar, Bank Rakyat turut memperkenalkan kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV) di Menara Kembar Bank Rakyat sebagai sebahagian persiapan ke arah memperoleh pensijilan Bangunan Hijau (GBI).
Cenergi, anak syarikat UEM Lestra Berhad, merupakan peneraju penyelesaian tenaga lestari di Malaysia dan menawarkan pemasangan sistem solar korporat tanpa kos awal bagi membantu sektor komersial mengurangkan kos elektrik serta memperkukuh komitmen kelestarian mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cenergi, Ir. Kwok Yew Hoe berkata, projek bersama Bank Rakyat itu menjadi penanda aras baharu kepada sektor komersial dan institusi kewangan dalam mendekarbonisasikan operasi harian.
“Apabila institusi kewangan sebesar Bank Rakyat beralih kepada tenaga hijau, mesej yang disampaikan kepada pasaran adalah jelas iaitu penyelesaian rendah karbon kini menjadi sangat penting dalam keperluan strategik dalam operasi dan perniagaan moden,” katanya dalam kenyataan sama.
Beliau menjelaskan, projek itu mampu mengurangkan penggunaan elektrik grid sebanyak 3,000 MWh setahun, bersamaan pengurangan jejak karbon sebanyak 2,300 tan setahun atau penyamaan lebih 500 buah kereta dikeluarkan dari jalan raya.
Majlis Pelancaran Projek Solar PV Bumbung Bank Rakyat di Mercu UEM baru-baru ini yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif SEDA Malaysia, Datuk Hamzah Hussin. — Edisi 9

