24.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 27, 2024

Hujan batu fenomena biasa sewaktu ribut petir

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KEJADIAN hujan batu di beberapa kawasan di ibu negara petang semalam merupakan fenomena biasa semasa berlaku ribut petir yang kuat berserta hujan lebat dan angin kencang.

Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Muhammad Helmi Abdullah berkata, kejadian hujan batu berlaku apabila awan Kumulonimbus yang aktif mencapai ketinggian 12 kilometer.

Menurut beliau, suhu udara dalam awan tersebut melepasi nilai ambang tahap beku dan (menyebabkan) pembentukan ketulan-ketulan ais di atas lapisan tersebut.

“Ais yang terbentuk dalam awan turun bersama-sama hujan sebagai ketulan ais yang tidak sempat mencair sebelum sampai ke tanah.

“Titisan hujan yang terbentuk sebagai ketulan-ketulan air batu kebiasaannya bersaiz kecil sekitar 1.5 sentimeter iaitu sebesar guli,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Advertisements
Hujan batu di sekitar Kuala Lumpur yang dikongsikan pengguna media sosial. Kredit: Media Sosial

Muhammad Helmi berkata, kejadian hujan batu lazimnya berlaku setempat iaitu kawasan yang berada di bawah awan Kumulonimbus dan hanya dalam tempoh singkat iaitu sekitar 10 hingga 20 minit.

Terdahulu, katanya, berdasarkan kepada imej radar dan satelit semalam, awan hujan dan ribut petir aktif dicerap memasuki Kuala Lumpur sekitar pukul 3.30 petang dan kejadian hujan batu bermula kira-kira pukul 4 petang.

Ujar beliau, MetMalaysia namun terlebih dahulu telah mengeluarkan Amaran Ribut petir pada pukul 2.55 petang meliputi kawasan Kuala Lumpur.

Semalam tular di media sosial kejadian hujan batu di beberapa lokasi di Kuala Lumpur dan rata-ratanya menyatakan kejadian berkenaan kali pertama dialami mereka.

-EDISI9

Advertisements

Terkini

Tugas banteras rasuah lebih mencabar, penjenayah makin licik

TUGAS membanteras kegiatan rasuah di negara ini semakin mencabar memandangkan jenayah tersebut bersifat unik, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan...

Lagi Artikel Berkaitan