29.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

Pergerakan rakyat ke luar negara dipertimbangkan – PM

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN berkemungkinan mempertimbangkan pembukaan sempadan bagi tujuan pelancongan ke negara-negara tertentu, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Perdana Menteri, sekatan pergerakan rakyat ke luar negara boleh dilonggarkan mengambil kira sudah ramai melengkapkan vaksinasi satu dan dua dos termasuk pengambilan dos penggalak.

Menurut beliau, kerajaan tidak boleh terlalu rigid berhubung sekatan pintu sempadan kerana kesannya kepada industri pelancongan yang mengalami kerugian teruk.

Bagaimanapun beliau berkata, ia bergantung kepada keputusan Kementerian Kesihatan untuk membuat penilaian risiko sewajarnya sebelum melaksanakan kelonggaran tersebut.

“Saya lihat setengah negara telah pun kurangkan SOP (prosedur operasi standard) untuk pelancong ke negara mereka, mungkin perkara ini boleh dipertimbangkan sebab kalau vaksin dua dos dan booster (dos penggalak) selesai, saya percaya kita boleh beri sedikit kelonggaran. Namun terpulang kepada Kementerian Kesihatan untuk memberikan pandangan.

“Kesannya kalau kita masih lagi terlalu rigid atau keras (sekatan sempadan) kesannya kepada industri pelancongan. Setakat ini industri ini masih belum dibuka sepenuhnya walaupun pelancongan domestik dibuka tapi pelancong luar masih belum masuk ke negara kita.

“Pemberian subsidi upah yang diperkenalkan kerajaan masih diberikan kepada pemain industri pelancongan ini. Sebab itu jika rakyat kita sudah diberikan dos penggalak, mungkin boleh longgarkan sedikit dari segi SOP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) hari ini.

Ismail Sabri berkata, kes pandemik Covid-19 sudah dapat dikurangkan sebelum 2021 berakhir selepas pernah mencecah angka tertinggi 24,000 kes positif dan kini menurun hampir setiap hari hasil tindakan polisi kerajaan untuk vaksinasi rakyat.

Menurut beliau, tindakan kerajaan terpaksa menggantung pergerakan luar negara kerana masih banyak negara mencatatkan kes tinggi, justeru, kerajaan perlu berhati-hati untuk membuka sempadan.

Bagaimanapun kata beliau, Malaysia sudah memulakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) dengan Singapura, dan sedang dalam peringkat perbincangan untuk melaksanakan VTL dengan Indonesia dan Thailand.

Mengulas lanjut Perdana Menteri berkata, Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berjalan lancar dan Malaysia menjadi salah satu negara terbaik di dunia dalam memberikan vaksin kepada rakyat dengan lebih 98 peratus rakyat lengkap vaksin di samping dalam pelaksanaan dos penggalak.

“Saya percaya apabila rakyat kita dapat vaksin dua dos dan tambahan booster, kita tak perlu bimbang jika kerajaan mahu menutup ekonomi dan menyekat pergerakan rakyat semula.

“Sebab itu dua hari lepas saya umumkan kerajaan tidak lagi membuat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tidak ada istilah menyekat pergerakan daerah ke daerah atau negeri ke negeri, cuma kita masih tutup sempadan negara,” katanya.

-EDISI9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan