36 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

KPLB terima lebih 2,000 permohonan Inisiatif Rumah Kasih

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerima lebih 2,000 permohonan daripada mangsa banjir di seluruh negara, di bawah program Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia.

Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun berkata, daripada jumlah itu pihaknya menerima sebanyak 1,879 permohonan untuk baik pulih rumah yang rosak akibat bencana banjir tempoh hari, sementara 165 lagi bagi pembinaan rumah baru.

Beliau berkata, setakat ini pihak telah memulakan kerja-kerja pembaikan sejak Sabtu lalu membabitkan sembilan buah rumah mangsa banjir di Kuala Klawang, Chennah dan Jelebu di Negeri Sembilan.

“Empat buah rumah lagi di Mentakab dan Temerloh, Pahang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Menterinya, Datuk Seri Mahdzir Khalid mengumumkan peruntukan sebanyak RM50 juta di bawah Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia dengan kadar bantuan RM15,000 untuk kerja-kerja pembaikan rumah.

Manakala untuk pembinaan rumah baharu pula, sebanyak RM56,000 diperuntukkan bagi mangsa banjir di Semenanjung manakala untuk Sabah dan Sarawak sebanyak RM65,000.

Pemohon sedang mengisi borang permohonan Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia di Pusat Sehenti Tabika Kemas, Bukit Changgang, Selangor.

Sementara itu, Ramlan berkata, pihaknya menerima lebih 300 permohonan dan semakan kelayakan untuk Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia di Pusat Sehenti Tabika Kemas, Bukit Changgang, Selangor.

Pusat sehenti berkenaan telah dibuka tiga hari bermula hari ini bagi menyedia saluran bagi memudah cara mangsa banjir mendaftar kelayakan melalui borang yang disediakan.

Ia kemudiannya akan diserahkan kepada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah untuk diperaku oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU, JPM).

“KPLB mengambil inisiatif ini untuk membantu melicin dan mempercepatkan proses pendaftaran dalam menyegerakan bantuan kepada mangsa banjir yang layak,” katanya.

Selain KPLB, Inisiatif Rumah Kasih Keluarga Malaysia turut dilaksanakan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dengan peruntukan sama bagi membaiki serta membina semula rumah-rumah mangsa banjir di kawasan bandar.

KPLB sebelum itu, mengumumkan untuk menjadikan premis dan Tabika KEMAS sebagai pusat sehenti bagi semakan kelayakan bantuan pembaikan rumah pascabanjir. – Edisi 9

Terkini

Imigresen serbu pusat hiburan sediakan ‘call girl’, 63 ditahan

JABATAN Imigresen Johor menyerbu sebuah pusat hiburan yang disyaki menyediakan gadis panggilan (call girl) di Taman Mount Austin, Johor...

Lagi Artikel Berkaitan