27.9 C
Kuala Lumpur
Friday, March 29, 2024

4 lagi penularan tempatan varian Omicron dikesan

Mereka dipercayai menerima jangkitan daripada seorang jemaah umrah yang positif COVID-19 varian berkenaan

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEBANYAK empat lagi kes penularan tempatan varian Omicron dikesan di negara ini yang dipercayai menerima jangkitan daripada seorang jemaah umrah yang positif COVID-19 varian berkenaan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, empat kes penularan tempatan itu antara 58 lagi kes positif COVID-19 varian Omicron melalui jujukan genom penuh (WGS) yang dijalankan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

“Daripada 58 kes ini, sebanyak 54 kes merupakan jangkitan import melibatkan 39 kes adalah daripada Arab Saudi; tujuh dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), empat kes dari United Kingdom, dua kes dari Nigeria dan masing-masing satu kes dari Kazakhstan dan Perancis.

“Keputusan terbaharu ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif COVID-19 yang dikesan varian Omicron di Malaysia adalah sebanyak 122 kes,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairy berkata, daripada jumlah ini, 117 kes merupakan jangkitan import dari luar negara, manakala lima kes lagi merupakan penularan tempatan.

“Bagi keseluruhan kes varian Omicron yang dilaporkan, sebanyak 71 kes bersamaan 58.2 peratus merupakan jemaah umrah.

“Hasil ujian PCR Genotyping Assay yang dijalankan IMR ke atas 1,774 kes positif Covid-19 dalam kalangan pengembara yang tiba di Malaysia bagi tempoh 1 hingga 31 Disember tahun lalu mendapati 1,220 bersamaan 68.8 peratus sampel menunjukkan berkemungkinan varian Omicron.

“Daripada 1,220 kes berkemungkinan varian Omicron ini, 928 (76.1 peratus) melibatkan sampel pengembara yang tiba dari Arab Saudi,” katanya.

Mengulas mengenai empat kes di Kedah, Khairy berkata, penularan tempatan dilaporkan pada 4 Januari lalu dengan kesemua kes merupakan kontak rapat kepada kes positif COVID-19 varian Omicron yang balik dari mengerjakan umrah di Arab Saudi pada 12 Disember 2021 dan disahkan positif varian Omicron pada 24 Disember 2021.

Katanya, pendedahan kepada kes ini berlaku pada 13 Disember 2021 dan kesemua mereka mula bergejala dengan kategori dua pada 17 Disember 2021.

“Malah, ujian RT-PCR Covid-19 yang dijalankan selanjutnya pada 19 Disember 2021 adalah positif dengan CT Value di antara 20.80 hingga 21.49.

“Kesemua mereka telah diberi rawatan selama 14 hari di Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, Kedah,” katanya. – Edisi 9

Terkini

‘Rebel’, filem aksi arahan pertama Awie

SELEPAS bertahun-tahun berkecimpung dalam dunia lakonan dengan puluhan filem serta pelbagai watak yang pernah dilakonkan, akhirnya vokalis kumpulan Wings iaitu...

Lagi Artikel Berkaitan