28.6 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

107 kluster pendidikan tercetus sejak penggal 3 dibuka

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

SEBANYAK 107 kluster COVID-19 dalam kategori pendidikan yang melibatkan 4,633 kes telah dikesan sejak bermula sesi persekolahan penggal ketiga sehingga semalam. 

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, secara keseluruhan, daripada 107 kluster pendidikan, kategori institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyumbang bilangan tertinggi iaitu sebanyak 56 kluster (52.3 peratus).

“Diikuti  kategori pendidikan lain (24.3 peratus), kategori pendidikan tinggi (20.6 peratus), dan institusi pendidikan swasta berdaftar KPM (2.8 peratus).

“Jika dibahagikan daripada 4,633 keseluruhan kes kluster pendidikan, sebanyak 4,092 kes (88.3 peratus) lengkap menerima vaksin COVID-19 dan 112 kes (2.4 peratus) pula menerima dos penggalak.

“Majoriti kes yang dilaporkan hanya bergejala ringan (kategori 1 dan 2) iaitu 99.7 peratus iaitu 4,621 kes manakala hanya 0.2 peratus iaitu 12 kes lagi adalah terdiri daripada kategori tiga dan empat,”katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, berdasarkan hasil siasatan dijalankan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) ke atas kes dan kluster yang dilaporkan,  kejadian itu berpunca atas lima faktor.

Faktor itu, katanya, adalah ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) warga institusi pendidikan semasa di sekolah dan di luar waktu persekolahan formal terutama apabila berada di asrama dan individu bergejala lewat dikesan dan masih lagi hadir ke kelas.

“Tiga lagi, murid yang dikuarantin di sekolah tidak mematuhi arahan dan prosedur kuarantin; ruangan tumpuan ramai tidak dilakukan pembersihan dan disinfeksi secara berkala serta sistem pengudaraan kurang memuaskan di kelas dan asrama,” katanya.

Advertisements

Kata beliau, melihat kepada peningkatan kes dan kluster sektor pendidikan, satu mesyuarat khas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama dengan KPM, Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK), Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Jabatan Perpaduan Negara Dan Integrasi Nasional (JPNIN), selain Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diadakan pada Sabtu lalu. 

Noor Hisham berkata, antara 10 cadangan penambahbaikan bagi mengurangkan risiko penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan pelajar dan warga pendidikan adalah pihak sekolah perlu mematuhi sepenuhnya Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0 yang dikeluarkan KPM.

Ini termasuk, katanya, melakukan penilaian risiko dengan segera supaya pelajar yang dijangkiti COVID-19 dapat diasingkan dan tindakan segera dapat dilakukan ke atas kontak rapat.

Katanya, pelajar perlu segera membuat laporan kepada guru, warden atau wakil pelajar, walaupun bergejala ringan seperti selesema serta pihak pengurusan institusi perlu menyediakan ruang yang bersesuaian bagi pengasingan kes COVID-19 dan kontak rapat.

Jelasnya, individu yang layak untuk menerima vaksin COVID-19 dan dos penggalak adalah digalakkan berbuat demikian.

“Selain itu, ibu bapa juga diingatkan memainkan peranan dalam memastikan hanya anak-anak yang sihat sahaja dihantar ke sekolah; semua warga pendidikan perlu mematuhi SOP yang ditetapkan MKN dan KKM sepanjang masa manakala pembersihan dan disinfeksi perlu kerap dilakukan terutama di permukaan yang kerap disentuh.  

“Dua terakhir adalah memastikan ventilasi di kelas, bilik asrama dan ruang-ruang tertutup dalam keadaan yang baik bagi mengurangkan risiko jangkitan dan keputusan ujian kendiri dilaksanakan murid dengan bimbingan ibu bapa atau penjaga di rumah perlu dilaporkan kepada pihak sekolah,” katanya.- Edisi 9

Advertisements

Terkini

Didenda RM30,000 jual RON95 kepada kenderaan asing

SEORANG pemilik sebuah stesen minyak didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Selayang kerana menjual barangan kawalan berjadual petrol RON95 kepada...

Lagi Artikel Berkaitan