29.9 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

MKT UMNO harap kes Najib diadili secara saksama

Mesti Baca

MAJLIS Kerja Tertinggi UMNO (MKT) berharap Mahkamah Persekutuan dapat mengadili kes Datuk Seri Najib Tun Razak secara saksama setelah Mahkamah Rayuan menolak permohonan dibuat bekas Perdana Menteri itu, semalam.

Dalam mesyuarat MKT yang dipengerusikan oleh Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi malam tadi, parti itu, dengan mengambil pandangan orang ramai, tetap menganggap pendakwaan terhadap Najib dan beberapa pemimpin parti berkenaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah bermotifkan politik.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, UMNO percaya sistem kehakiman negara perlu sentiasa menjunjung prinsip keadilan yang tinggi.

“Tanpa hilang hormat kepada keputusan Mahkamah Rayuan tersebut, mesyuarat berharap agar keputusan rayuan beliau (Najib) di Mahkamah Persekutuan kelak dapat diadili dengan saksama.

“(Ini) kerana ramai beranggapan bahawa beberapa tokoh yang dituduh selepas PRU-14 adalah kerana bermotifkan pendakwaan politik. UMNO percaya bahawa sistem kehakiman negara perlulah sentiasa menjunjung prinsip keadilan yang tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur sebulat suara mengekalkan sabitan salah atas tujuh pertuduhan membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd. selepas menolak rayuan bekas Perdana Menteri itu.

Panel tiga hakim yang diketuai Datuk Abdul Karim Abdul Jalil dan bersidang bersama-sama Datuk Has Zanah Mehat dan Datuk Vazeer Alam Mydin Meera sebulat suara memutuskan demikian selepas mendapati rayuan Ahli Parlimen Pekan itu tidak mempunyai merit.

Mahkamah turut mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadap Najib sebelum ini atas alasan hukuman yang dikenakan adalah wajar dan bersesuaian.

Sementara itu, Ahmad berkata, MKT turut memutuskan bahawa mesyuarat perwakilan empat peringkat UMNO iaitu Wanita, Pemuda, Puteri dan UMNO Bahagian akan diadakan pada 11, 12 dan 18 Disember 2021 di seluruh negara.

Manakala Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2021 pula akan diadakan di PWTC, Kuala Lumpur pada 13-15 Januari 2022 secara hibrid iaitu gabungan kaedah bersemuka dan maya.

“Ini disebabkan SOP penjarakan masih perlu dipatuhi. Keterangan lanjut mengenai PAU 2021 akan dimaklumkan kemudian,” katanya.

Beliau berkata, lebih 20,000 Persidangan UMNO Cawangan telah pun selesai diadakan pada 15 Oktober hingga 30 November 2021 dengan jayanya.

Dalam pada itu MKT turut merakamkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada rakyat dan pengundi Melaka atas kepercayaan memberi kemenangan kepada Barisan Nasional (BN) sebanyak tiga perempat kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka baru lalu.

“MKT berharap agar kepimpinan kerajaan negeri Melaka yang baharu dapat melaksanakan tugas sehabis baik bagi memastikan kemajuan rakyat negeri Melaka,”katanya.

Dalam PRN Melaka pada 20 November lalu, BN memperoleh kemenangan di 21 daripada 28 kerusi DUN yang dipertandingkan, lima kerusi dimenangi oleh Pakatan Harapan (DAP) manakala dua oleh Perikatan Nasional (Bersatu). – Edisi 9

Terkini

Piala Asia B23: Harimau Muda gagal jinakkan Uzbekistan

HASRAT skuad Harimau Muda negara untuk meraih sekurang-kurangnya satu mata daripada juara edisi 2018, Uzbekistan gagal apabila ditundukkan 0-2...

Lagi Artikel Berkaitan