29.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

PRN Sarawak: Ali Biju tarik diri, Muhyiddin puji

Mesti Baca

KEPUTUSAN Datuk Ali Biju yang menarik diri daripada bertanding atas tiket bebas dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak Ke-12 melegakan pucuk pimpinan Bersatu, terutama Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Malah Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) memuji tindakan Ali yang diancam digugurkan sebagai ahli Bersatu sekiranya meneruskan hasrat bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian.

Ini kerana keputusan Ahli Parlimen Saratok yang juga Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli itu “menyelamatkan” hubungan setiakawan Bersatu dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS), parti pemerintah Sarawak ketika ini.

Muhyiddin berkata, keputusan Ali untuk tidak mempertahankan kerusi yang dimenanginya dalam PRN Sarawak yang lalu demi menghormati hubungan setiakawan yang telah terjalin antara Bersatu dan GPS adalah satu langkah yang amat terpuji.

“Bagi saya, pengorbanan yang dilakukan oleh Ali Biju adalah amat besar ertinya kepada persefahaman yang telah dicapai antara saya dan Datuk Patinggi Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg dalam memperkukuhkan jalinan hubungan kerjasama antara Bersatu dan GPS di Sarawak.

“Ini termasuk persefahaman bahawa PN yang diwakili oleh Bersatu akan mengambil bahagian dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 di Sarawak,” kata bekas Perdana Menteri itu dalam kenyataannya hari ini.

Ketika hari penamaan calon PRN Sarawak Sabtu lalu, Ali mengejutkan pucuk pimpinan Bersatu apabila mencalonkan diri untuk bertanding di DUN Krian atas tiket bebas.

Tindakan Ali yang sebelum menyertai Bersatu, adalah pemimpin PKR negeri, dikatakan bertentangan dengan keputusan partinya yang sebelum ini mengambil keputusan tidak menyertai PRN Sarawak sebagai menghormati GPS.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan menganggap tindakan Ali itu boleh membawa pemecatan keahliannya sebagai anggota parti, sekali gus menyebabkan Bersatu kehilangan satu lagi kerusi di Parlimen.

Muhyiddin turut menyambut baik sokongan Ali kepada calon-calon GPS yang bertanding di Krian, Kalaka dan Kabong yang kesemuanya berada di dalam kawasan Parlimen Saratok.

Untuk rekod, dalam PRN Sarawak Ke-11 pada 2016, Ali yang bertanding atas tiket PKR menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Kilat Anak Beriak dengan majoriti 1,640.

Manakala dalam PRU-14 pula beliau bertanding di kerusi Parlimen Saratok juga atas tiket PKR dan menang dengan majoriti tipis, 989 undi menewaskan calon BN, Subeng Anak Mula.

Ali bagaimanapun menyertai tim Datuk Seri Mohd Azmin Ali yang bertindak keluar daripada PKR ketika krisis dalaman kerajaan Pakatan Harapan pada 2020 lalu dan kemudian menyertai Bersatu. – Edisi 9

Terkini

Veto AS ke atas Palestin: Pengkhianatan terhadap keadilan

Oleh AZRIL MOHD AMIN DALAM tindakan terbaharu kedegilan diplomatik, Amerika Syarikat (AS) menggunakan kuasa vetonya untuk menggagalkan resolusi yang mahu...

Lagi Artikel Berkaitan