29.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, April 20, 2024

RM115 juta diperuntuk untuk pas perjalanan My50 – Ka Siong

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KERAJAAN memperuntukkan sebanyak RM115 juta bagi meningkatkan jumlah subsidi tambang pengangkutan awam melalui pas perjalanan tanpa had My50.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, peruntukan tersebut diperoleh menerusi Pelan Pemulihan Negara (PPN) bagi menggantikan pas My30 yang dilaksanakan di bawah PENJANA sebelum ini.

Menurut beliau, melalui penggunaan pas perjalanan tanpa had My50 itu, kerajaan dapat mengurangkan beban kos pengangkutan pengguna daripada RM200 sebulan kepada hanya RM50.

“Ini adalah subsidi oleh kerajaan untuk membolehkan Prasarana Malaysia menyediakan kemudahan ini pada kadar yang berpatutan untuk mereka yang bergantung kepada perkhidmatan mereka,” katanya selepas melancarkan pas perjalanan tanpa had My50 itu di Gombak hari ini.

Dengan My50, para pengguna dapat menggunakan perkhidmatan rel dan bas kendalian Prasarana di Lembah Klang iaitu LRT, MRT, Monorel, BRT, bas Rapid KL dan bas pengantara MRT tanpa had selama 30 hari berturut-turut.

Manakala bagi pengguna di Pulau Pinang pula, My50 akan dipanggil Mutiara Pass, sah untuk semua perkhidmatan bas Rapid Penang.

Kedua-dua pas tersebut akan dilaksanakan bermula 1 Januari sehingga 31 Disember 2022.

“Pas Perjalanan Tanpa Had My50 dilancarkan itu untuk membantu memberikan sedikit kelegaan kepada penduduk Lembah Klang yang terkesan akibat bencana banjir minggu lalu,” katanya.

Ka Siong berkata, peruntukan My50 merupakan inisiatif penting kerana ia membantu kehidupan seharian orang ramai khususnya para pengguna pengangkutan awam.

“Diharapkan ia terus memberikan kelegaan kepada mereka yang terjejas akibat banjir dengan menjadikan pengangkutan awam lebih menjimatkan kos untuk mereka,” katanya. -Edisi 9

Terkini

Beras dibuang di tapak pelupusan sampah tidak selamat dimakan

BERAS yang didakwa dibuang di tapak pelupusan sampah di Temerloh, Pahang didapati telah rosak dan tidak sesuai serta tidak...

Lagi Artikel Berkaitan