32.8 C
Kuala Lumpur
Thursday, April 18, 2024

Penjawat awam lesap hampir RM400,000 ditipu sindiket

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

HAMPIR RM400,000 lesap selepas seorang penjawat awam ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai insurans dan polis.

Wanita berusia awal 50-an di Machang, Kota Bharu, Kelantan itu telah menerima panggilan telefon daripada seorang suspek pada September lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, berkata, menyamar sebagai pihak insurans, suspek memaklumkan mangsa perlu membuat tuntutan insurans kemalangan sebanyak RM70,000, namun dinafikan oleh mangsa.

“Pada hari sama, mangsa juga menerima panggilan telefon daripada suspek yang berbeza dan menyamar sebagai pegawai polis dan mendakwa hasil semakan lanjut mangsa terbabit dengan kes pengubahan wang haram dan akan ditangkap.

“Hasil daripada panggilan telefon terbabit, mangsa diminta menyediakan wang jaminan sebanyak RM500,000 sekiranya mahu menyelesaikan kes ini.

“Mangsa kemudiannya telah mendedahkan semua maklumat akaun miliknya kepada pegawai polis berkenaan.

“Mangsa juga dilarang memberitahu sesiapa mengenai siasatan ‘polis’ yang sedang dijalankan kerana bimbang akan mengancam keselamatan dirinya serta keluarga sekiranya sindiket mendapat tahu mengenai kerjasama yang diberikan mangsa kepada pihak polis,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Katanya, bagaimanapun seminggu kemudian mangsa diarahkan mengumpulkan kesemua wang miliknya dalam satu akaun bank dan mangsa mengeluarkan wang simpanan daripada beberapa institusi kewangan berjumlah RM115,000 dan memasukkannya ke dalam satu akaun mangsa sendiri yang dipilih oleh suspek.

“Bagi menyediakan wang jaminan yang diarahkan, pada Oktober dan November lalu, mangsa membuat pinjaman dari dua bank berbeza berjumlah RM280,000 yang kemudian turut dipindahkan ke akaun bank milik mangsa.

“Selain itu, mangsa juga dalam proses membuat pinjaman dengan sebuah lagi institusi kewangan kerana wang jaminan belum cukup,” katanya.

Shafien berkata, Khamis lalu, mangsa membuat semakan baki akaun bank miliknya dan mendapati semua wang simpanan serta wang pinjaman yang dibuatnya sebelum ini telah dipindah keluar ke akaun bank pihak ketiga tanpa pengetahuan dan kebenaran mangsa.

“Mangsa terus membuat laporan polis dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, ” katanya. – Edisi 9

Terkini

Afidavit Zahid manifestasi usaha pembelaan terhadap Najib

TINDAKAN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang memfailkan afidavit tambahan bagi menyokong petisyen Datuk Seri Najib Razak berhubung kewujudan...

Lagi Artikel Berkaitan