TIADA lagi penggiliran kelas dilaksanakan apabila penggal ketiga persekolahan yang akan bermula pada 9 dan 10 Januari ini, kata Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
Menurut KPM, ini bermakna hampir semua murid akan hadir ke sekolah secara bersemuka tanpa penggiliran meliputi murid-murid berkeperluan khas, pra sekolah, tahun 1, 2 dan 6 serta muria di bawah program Rancangan Makanan Tambahan (RMT).
Bagaimanapun, sistem penggiliran akan dilaksanakan terhadap murid tahun 3, 4 da 5 termasuk sekolah rendah swasta dan antarabangsa.
Bagi sekolah menengah pula, selain pelajar tingkatan 1, 2 dan 3, semua kelas serta program pendidikan termasuk kelas peralihan akan mengikuti pembelajaran secara fizikal tanpa penggiliran.
“(Bagaimanapun) Pengoperasian institusi pendidikan yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus atau lebih, kekal secara penggiliran.
“KPM akan mengeluarkan senarai institusi yang belum mencapai kadar vaksinasi lengkap 90 peratus, pada setiap Rabu,” kata KPM dalam kenyataan hari ini.
KPM berkata, institusi pendidikan yang sudah mencapai vaksinasi lengkap 90 peratus pula akan dikeluarkan daripada senarai dan institusi tersebut boleh melaksanakan sesi persekolahan tanpa penggiliran pada minggu berikutnya.
Kementerian itu turut menetapkan sekolah harian dan sekolah swasta, termasuk sekolah ekspatriat yang mempunyai enrolmen kurang 300 murid boleh beroperasi sepenuhnya dengan kehadiran secara bersemuka tanpa penggiliran.
“Namun, sekolah ekspatriat yang enrolmen melebihi 300 murid, permohonan boleh dikemukakan kepada KPM untuk beroperasi sepenuhnya.
“KPM akan membuat penilaian sebelum kelulusan diberikan,” kata kenyataan itu.
Bagi sekolah-sekolah berasrama penuh, pelajar-pelajar tingkatan 1, 2 dan 3 akan mengikuti sesi persekolahan secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) manakala pelajar lain akan mengikuti pembelajaran secara fizikal tanpa penggiliran.
Sementara itu KPM berkata, pengoperasian kolej vokasional bagi pelajar Sijil Vokasional Malaysia, Sijil Kemahiran Malaysia, Sistem Latihan Dual Nasional dan Diploma Vokasional Malaysia adalah secara bersemuka tanpa penggiliran bermula 9 Januari.
Manakala pengoperasian Kolej Matrikulasi (KM), katanya, pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka akan bermula tarikh itu untuk Program Matrikulasi Sistem Dua Semester serta Program Matrikulasi Sistem Empat Semester.
“Bagi Institut Pendidikan Guru (IPG) pula, semua program pengajian akan memulakan kuliah secara bersemuka mulai 6 Februari 2022, mengikut kalendar akademik sedang berkuat kuasa.
“Hanya pelajar KM dan IPG yang menerima vaksin lengkap dibenarkan kembali ke kolej serta kampus, selaras Garis Panduan Pengoperasian Institut Pendidikan Guru dan Kolej Matrikulasi 3.0,” katanya.
-EDISI9