25.9 C
Kuala Lumpur
Friday, April 26, 2024

KKM lulus pendaftaran Ronapreve untuk rawatan Covid-19

Mesti Baca

Sharieza Ismail
Sharieza Ismail
Wartawan Edisi 9

KEMENTERIAN Kesihatan (KKM) meluluskan pendaftaran bersyarat produk Ronapreve untuk kegunaan rawatan dan pencegahan Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, pendaftaran produk itu diluluskan Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kali ke-367 yang bersidang semalam.

“Ronapreve dikilangkan oleh F.Hoffman-La Roche Ltd, Switzerland,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kelulusan pendaftaran bersyarat memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk tersebut dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

Noor Hisham berkata, ini bagi memastikan perbandingan manfaat dan risiko bagi produk Ronapreve kekal positif.

Menurutnya, penggunaan Ronapreve bukan sebagai pengganti kepada vaksinasi Covid-19 dan tindakan kesihatan awam terutamanya pematuhan prosedur operasi standard (SOP).

Advertisements

Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah meluluskan permohonan Lesen Import Percubaan Klinikal yang melibatkan satu protokol bagi produk untuk pencegahan Covid-19 iaitu MK-4482 200mg capsule (Molnupiravir) daripada pemohon Merck Sharp & Dohme (Malaysia) Sdn. Bhd. dan pengilang Patheon Pharmaceuticals Inc., USA.

Kajian Klinikal Fasa Tiga ini akan dijalankan di dua pusat penyelidikan di Malaysia dengan sasaran bilangan subjek sebanyak 20 orang yang berumur 18 tahun dan ke atas.

Kajian tersebut akan mengambil masa selama sembilan bulan dan merupakan sebahagian daripada kajian yang dilakukan di peringkat global yang melibatkan pelbagai negara.

Sebelum ini orang ramai mendesak kerajaan meluluskan penggunaan Ivermectin bagi rawatan Covid-19 tetapi sehingga kini KKM memberikan lampu hijau berhubung penggunaannya.

Ivermectin adalah sejenis ubat antiparasit yang diluluskan Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) yang digunakan secara meluas bagi merawat beberapa penyakit tropika terabai, termasuk onchocerciasis, strongyloidiasis dan helminthiases. – Edisi 9

Advertisements

Terkini

Zahid, Muhyiddin sepakat batal saman, henti pertikaian peribadi

TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini membuat...

Lagi Artikel Berkaitan