32.8 C
Kuala Lumpur
Friday, April 19, 2024

Pelajar warga asing kes pertama Omicron di Malaysia

Mesti Baca

Ain Hamzah
Ain Hamzah
Wartawan Edisi 9

MALAYSIA merekodkan kes pertama varian dibimbangi, Omicron membabitkan seorang pelajar yang mempunyai rekod perjalanan dari Afrika Selatan.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, kes melibatkan seorang pengembara bukan warganegara berusia 19 tahun yang juga pelajar di sebuah universiti swasta di Ipoh, Perak.

Katanya, pelajar tersebut tiba dari Afrika Selatan melalui Singapura pada 19 November lalu dan telah menjalani ujian RT-PCR COVID-19 setibanya di Pintu Masuk Antarabangsa, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Kes telah diberi Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di bawah Seksyen 15, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Akta 342) dan menjalani kuarantin wajib di penginapan yang disediakan oleh pihak universiti di Ipoh.

“Perjalanan kes dari KLIA ke Ipoh adalah menggunakan bas yang disediakan khas oleh pihak universiti,” katanya dalam sidang media hari ini.

Khairy berkata, pelajar terbabit menjalani kuarantin seorang diri di penginapan tersebut dan berdasarkan siasatan yang dijalankan, kes patuh kepada perintah yang dikeluarkan.

“Kes juga telah menerima vaksinasi lengkap dan tidak bergejala “ katanya.

Menurut Khairy, Institut Penelidikan Perubatan (IMR) telah mengesahkan sampel ujian saringan tersebut positif COVID-19 dengan CT Value 26.68 pada 20 November lalu.

“Kes meneruskan pengasingan di rumah yang sama selama 10 hari dan diberi pelepasan pada 29 November.

Pengesanan kontak rapat telah dijalankan ke atas semua penumpang bas dan pemandu iaitu seramai lima orang.

Menurutnya, kesemuanya telah menjalani saringan ujian COVID-19 dan kuarantin wajib.

“Ujian sampel pertama dan kedua ke atas semua kontak rapat disahkan negatif.

Susulan itu, Khairy menegaskan kesemua pengembara yang tiba dari negara berisiko tinggi di PMA KLIA akan dipakaikan peranti pengesan digital sepanjang tempoh Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (kuarantin).

Menurutnya, bagi Gelembung Pelancongan Langkawi pula pengembara yang tiba perlu menjalani ujian pengesanan COVID-19 tambahan iaitu pada hari ketigadan kelima dari tarikh ketibaan.

“Jenis ujian adalah RTK-Ag secara profesional VTL-Singapura, diteruskan buat masa ini.

Selain itu menurutnya, sekatan perjalanan sementara terhadap lapan negara yang dikenal pasti sebelum ini dikekalkan.

Untuk rekod, ujian PR Genotyping Assay ke atas semua sampel positif yang disaring di PMA KLIA sebagai inisiatif tambahan kepada kajian berterusan jujukan genom penuh (WGS).

Sehubungan itu, IMR telah menjalankan ujian PCR Genotyping Assay ke atas 74 sampel positif COVID-19 yang dikesan di KLIA dari tempoh 11 November 2021 hingga 28 November lalu.

“Ujian PCR Genotyping Assay dijalankan bagi mendapatkan keputusan awal jenis varian.

“Hasil daripada ujian PCR Genotyping Assay, satu daripada sampel telah dikesan berkemungkinan besar adalah VOC Omicron.

“Jujukan genom seterusnya dilaksanakan mendapati keputusan positif bagi varianOmicron pada 2 Disember (semalam).

-EDISI9

Terkini

Malaysia kecewa kuasa veto diguna halang Palestin anggotai PBB

MALAYSIA menyuarakan rasa bimbang dengan penggunaan veto di Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk menghalang kemasukan Palestin sebagai...

Lagi Artikel Berkaitan